zaheera memperkasa kokurikulum sekolah


Zaheera guru cemerlang kokurikulum
Foto Fariz Rusadio
25 November 2017

Komitmen Zaheera Ibrahim me­latih anak didiknya dalam bidang kokurikulum berbalas apabila beliau diumumkan sebagai johan kategori Guru Cemerlang Kokurikulum (Sekolah Rendah) peringkat Kebangsaan 2017 pada 9 November lalu.

Anak kelahiran Machang, Kelantan ini menerima pengiktirafan itu pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung di Dewan Muadzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Menurut guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Ibrahim, Sungai Petani, Kedah ini, anugerah yang diraihnya itu menjadi motivasi buat dirinya untuk terus melatih dan menarik minat murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesenian, kebudayaan, sukan dan program di sekolah.

“Peranan seorang guru bukan ha­nya dalam bidang akademik semata-mata tetapi juga berperanan untuk menyemarakkan aktiviti kokurikulum di sekolah.

“Usaha itu tidak mudah dan antara salah satu cabaran adalah untuk menarik minat seterusnya mencungkil bakat murid dalam bidang tertentu,” katanya ketika ditemui Gerbang Pintar di Bandar Perdana, Sungai Petani baru-baru ini.

Menurut Zaheera, 36, guru juga perlu memahami isi hati murid untuk mengetahui minat sebenar mereka.

“Kita perlu kenal pasti minat mereka. Ada seorang murid hantar sajak kepada saya menerusi aplikasi Whats­App dan saya terus bimbing dia untuk terus pupuk minatnya,” ungkap ibu kepada tiga anak ini.

Zaheera menegaskan, beliau tidak lokek memberikan pendedahan kepada murid tentang bidang kesusaste­raan Melayu.

“Saya meminati bidang ini ter­utama sajak sejak berusia tujuh tahun lagi dan apa salahnya saya mendedahkannya kepada anak murid di sekolah walaupun pada awalnya ada yang ke­tawa apabila saya bersajak.

“Namun setelah diberi pendedahan demi pendedahan, mereka sudah boleh menerimanya dan ada yang berazam mengikut jejak langkah saya,” ujar jurulatih Seni Budaya Negara pengkhususan seni berbahasa dan teater yang kini menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-Kanak) di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Antara penglibatan lain Zaheera dalam kokurikulum di sekolah adalah sebagai jurulatih persembahan murid untuk koir, nasyid, bercerita, sajak, pantun dan nyanyian solo serta merupakan guru rumah sukan yang berjaya merebut gelaran johan dalam acara perbarisan selain mencipta lagu SK Bukit Kiara serta aktif dalam Persatuan Pandu Puteri.

 kosmo




Deklamasi puisi Zaheera Ibrahim

 Tulis Zaheera dalam fbnya :

Terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan memberi peluang kepada saya untuk saya mencapai hingga ke tahap sekarang.. Tanpa sokongan daripada org lain terutama suami yang memberi keizinan, anak2 yang memahami, pihak pentadbir sekolah dan rakan2 guru, staf pejabat, tukang kebun dan tukang cuci sekolah, pengawal keselamatan sekolah, insan2 hebat, anak2 murid yang sentiasa mendoakan cikgu, dan rakan2 sahabat handai sekalian, tak mungkin saya boleh berada di tahap sekarang.. Terima kasih sekali lagi.. semoga Allah memberkati kita semua.. 

Kejayaan Zaheera pada tahun 2017
-Johan Guru Cemerlang Koko Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan (johan daerah dan negeri)
-Naib Johan Sayembara Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan
-Johan Gema Puisi Peringkat Negeri Kedah anjuran Jabatan Penerangan
-Naib Johan Pskppk Negeri Kedah (tarian)
-Buku Antologi Sajak Menata Zaman, Bianglala Melukis Syurga, Katil 21


 














Comments