nasib tanah

NASIB TANAH SIMPANAN MELAYU?
Ku Amirul Faiz Ku Seman

SULTAN PERAK, SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH beramah mesra dengan peserta semasa berangkat pada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Putrajaya, pada 5 Ogos lalu. UTUSAN/RASHID MAHFOF

21 Ogos 2017 12:00 PM

“TERPAHAT secara tersirat – ter­tera secara tersurat di dalam Perlembagaan Persekutuan semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, yang secara tegas menetapkan antaranya kedaulatan Raja-Raja, Islam sebagai Agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, tanah simpanan Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain, diberikan jaminan untuk dilindungi pada setiap masa. Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan tanpa perkenan Raja-Raja.” - Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Isu melibatkan tanah simpanan Melayu bukanlah satu isu baharu. Isu ini pernah dibangkitkan sebelum ini oleh pelbagai pihak termasuklah tokoh-tokoh perundangan. Terdapat satu persoalan besar yang masyarakat perlukan jawapan iaitu apakah nasib tanah simpanan Melayu di Tanah Melayu setelah 60 tahun merdeka?

Terdapat satu penyelidikan yang dilakukan berkaitan dengan tanah simpanan Melayu pada 2009 di mana kajian tersebut mendapati keluasan tanah berstatus simpanan Melayu hanyalah kira-kira 12 peratus daripada 12.9 juta hektar keseluruhan tanah di Semenanjung, tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka.

Memetik artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 17 September 2014, keluasan tanah simpanan Melayu dikatakan pernah mencecah 3.1 juta hektar (23.92 peratus) pada 1931 dan jumlah itu menyusut kepada 1.57 juta hektar (11.99 peratus) pada 2009. Menurut kajian itu juga jumlah keluasan tanah simpanan Melayu pernah mencatat angka yang cukup rendah pada 1983 dengan keluasan hanya 1.30 juta hektar (9.9 peratus).

Walaupun begitu, sebetulnya masih tiada satu angka yang tepat bagi mencatatkan keluasan sebenar Tanah Simpanan Melayu. Menurut jawapan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Dr. Hamim Samuri di Parlimen, anggaran bagi keluasan tanah simpanan Melayu sehingga Oktober 2016 ialah seluas empat juta hektar.

Apapun statistik mengenai keluasan tanah simpanan Melayu ketika ini, perhatian harus diberikan kepada isu utama iaitu status nasib tanah simpanan Melayu dan bagaimana tanah-tanah yang diwartakan ini telah diuruskan sehingga timbul isu ‘kehilangan’ Tanah Simpanan Melayu.

Lazimnya, ‘kehilangan’ ini terjadi apabila tanah simpanan Melayu yang dibatalkan statusnya sebagai tanah simpanan Melayu tidak digantikan pula dengan tanah yang mempunyai keluasan dan jenis yang sama. Akibatnya banyak jumlah keluasan tanah yang diwartakan sebagai Tanah Simpanan Melayu hilang tanpa jejak.

Permintaan yang tinggi terhadap tanah-tanah selari dengan perubahan sosial dan ekonomi telah mengakibatkan tanah-tanah simpanan tidak terlepas daripada tuntutan semasa. Tanah-tanah ini telah diambil dengan alasan untuk kegunaan awam serta pembangunan.

Selain itu, terdapat juga tanggapan kononnya tanah-tanah yang berstatus simpanan Melayu mempunyai nilai pasaran yang rendah kerana kesukaran untuk membangunkannya serta lokasi yang tidak strategik. Tanggapan salah ini telah dijadikan alasan mengapa tanah-tanah simpanan ini tidak diganti.

Keperluan menggantikan ta­nah simpanan Melayu yang dibatalkan status adalah selaras dengan peruntukan Perkara 89(3) Perlembagaan Persekutuan. Jika diteliti perkataan ‘hendaklah’ dalam Perkara 89 (3) menunjukkan adalah menjadi satu kewajipan untuk menggantikan semula tanah simpanan Melayu yang telah dibatalkan statusnya.

Tanggungjawab untuk penggantian tanah itu pula adalah secara serta-merta seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun realitinya masih terdapat pihak berkuasa negeri yang gagal memenuhi tuntutan ini.

Misalnya pada 30 Mac 2015, sewaktu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan Dewan Negeri Selangor, ba­ginda menitahkan supaya kerajaan negeri Selangor segera menggantikan kembali tanah simpanan Me­layu yang telah dibatalkan status­nya untuk pembangunan.

Titah baginda lagi, sebarang penggantian hendaklah serupa keadaannya dan mempunyai nilai yang kompetitif. Isu ini timbul akibat daripada banyaknya tanah-tanah simpanan Melayu yang dibatalkan status dan diambil untuk tujuan pembangunan namun masih belum diganti semula.

Titah Sultan Selangor tersebut masih relevan dan peringatan ini penting bukan sahaja kepada kerajaan negeri Selangor tetapi juga kepada pihak berkuasa ne­geri lain-lain juga. Tindakan badan eksekutif seharusnya selari de­ngan peruntukan dan ketetapan di bawah Perlembagaan Persekutuan terutama dalam urusan yang melibatkan hak-hak rakyat.

Sudah tiba masanya juga kerajaan negeri mengambil satu tindakan yang aktif untuk meletakkan kembali kedudukan tanah simpanan Melayu di tempat yang sepatutnya. Kerajaan-kerajaan ne­geri juga mungkin boleh menambah baik Enakmen Rizab Melayu masing-masing seperti dengan membolehkan pemilik tanah mengisytiharkan tanah mereka sebagai tanah simpanan Melayu seperti yang dilakukan di Johor.

Cadangan Tan Sri Abu Zahar Ujang pada 2015 untuk ditubuhkan Tribunal Tanah mengawal jual beli tanah simpanan Melayu juga boleh dipertimbangkan untuk memulihkan keadaan ini. Tuntasnya, hentikanlah segala bentuk laungan slogan politik yang retorik. Tindakan yang aktif dan iltizam politik yang tinggi diperlukan dalam meletakkan hak yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan ini tepat pada di tempatnya.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

utusanonline

Comments