12 Sep 2017

kota tinggi


Simpan khazanah Kesultanan Johor
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
11 Ogos 2017



Kota Tinggi, satu daerah di Johor dipercayai dibuka pada 1529 oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II.

Bukan itu saja, baginda juga pengasas kerajaan Johor yang memerintah negeri itu dari 1528 hingga 1564 dan Pekan Tua menjadi pusat pemerintahan kerajaan Johor Lama pada waktu itu.

Difahamkan, nama Kota Tinggi diambil sempena pembinaan lapan kota pertahanan oleh beberapa sultan Johor di sepanjang pesisiran Sungai Johor iaitu Kota Kara pada 1529, Kota Sayong (1536), Kota Batu (1540), Kota Seluyut (1564), Kota Batu Sawar (1587), Kota Touhid (1623), Kota Tinggi (1685) dan Kota Panchor (1716).

Terdapat sumber lain menyatakan, nama Kota Tinggi pertama kali disebut oleh Sultan Mahmud Syah II pada 1688 di Kampung Makam.

Selain itu, Sultan Johor kelapan Sultan Abdul Jalil Shah III turut dikatakan menyumbang kepada kewujudan nama Kota Tinggi berikutan struktur geografi kawasan itu berada pada kedudukan lebih tinggi daripada sungai dan struktur muka bumi tanah.

Apa yang pasti daerah Kota Tinggi menyimpan banyak sejarah menarik sebagai khazanah pemerintahan Kesultanan Melayu Johor satu ketika dahulu.

Namun begitu, daerah berkenaan mempunyai sejarah hitamnya apabila hampir keseluruhan bandarnya tenggelam berikutan bencana banjir besar yang berlaku pada akhir 2006.

Sekali lagi daerah itu diuji dengan gelombang kedua banjir yang lebih buruk sehingga menenggelamkan lebih banyak kawasan yang tidak terjejas dengan bencana pertama.

Kota Tinggi juga terkenal dalam aspek pelancongan kerana terdapat beberapa pantai menarik seperti Tanjung Balau, Desaru, Batu Layar, Tanjung Sedeli dan Teluk Sengat.

Walaupun kedudukan pantai itu jauh dari bandar Kota Tinggi, namun tetap menjadi pilihan pelancong yang ingin merasai pengalaman percutian berbeza berbanding pulau lain terkenal di negara ini.

Jaraknya kira-kira 42 kilometer dari bandar raya Johor Bahru tetapi daerah berkenaan tidak ketinggalan menerima limpahan pembangunan setara dengan daerah lain.

Misalnya, projek minyak dan gas (O&G) di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang sedang dilaksanakan diyakini bakal merubah landskap daerah itu secara keseluruhan apabila projek itu siap kelak.

Projek berkenaan juga adalah usaha transformasi Malaysia sebagai negara maju pada 2020 dan Johor menjadi pusat industri serta perdagangan minyak serta gas di rantau ini.

mymetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena