Tapak Warisan Dunia UNESCO : Malaysia

Taman Negara Mulu (2000)


Taman Negara Gunung Mulu yang terletak di sebelah timur negeri Sarawak, merupakan salah satu daripada destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia, khasnya di Sarawak.

Taman Negara Mulu merupakan salah satu kawasan batu kapur yang paling diselidik di dunia. Kawasan taman seluas 52,864-hektar mengandungi tujuh belas zon tumbuhan, menampilkan sekitar 3,500 spesies tumbuhan vaskular. Spesies palm di situ amat kaya dengan 109 spesies dari dua puluh genus telah dijumpai. Taman Negara ini dihiasi oleh Gunung Mulu yang merupakan gunung batu pasir setinggi 2,377 meter. Sekitar 295 km gua yang telah diterokai memberikan pemandangan yang menakjubkan dan turut merupakan gua kediaman kepada berjuta kelawar dan burung Layang-layang. Kamar Sarawak yang seluas 600 meter X 415 m dan setinggi 80 m, adalah kamar gua terbesar di seluruh dunia yang diketahui


Taman Negara Mulu turut memiliki bentuk geografi yang unik, yang terdiri daripada gua batu kapur, lingkaran air batu yang jernih serta dilitupi oleh hutan dara tropika, Taman Negara Mulu merupakan tempat yang bukan hanya sesuai untuk orang-orang yang inginkan ketenangan jauh dari hiruk pikuk kota metropolitan bahkan juga amat sesuai bagi mereka yang menginginkan kegiatan yang lasak.

Taman Negara Mulu boleh dituju melalui pesawat dari Miri dan terus ke Taman Negara Mulu atau bagi mereka yang ingin merasakan kelainan dengan menggunakan jalan lain iaitu dengan menggunakan bot express dari Kuala Baram, Miri ke Marudi dan kemudian ke Taman Negara Mulu.


Taman Kinabalu (2000)


Taman Kinabalu terletak bahagian utara pulau Borneo, sebuah taman tertua negeri Sabah, Malaysia yang telah diwartakan pada tahun 1964, Taman Kinabalu dihiasi oleh Gunung Kinabalu yang tersergam dengan ketinggian 4,095.2 meter, yang merupakan gunung tertinggi di antara Puncak Jaya Papua, Indonesia dan Hkakabo Razi, Mynmar di Asia Tenggara.


Taman Kinabalu merupakan kawasan yang mempunyai ekologi mega dengan kepelbagaian habitat dari kawasan rendah tropika, kawasan hutan hujan tropika, sehingga kawasan hutan gunung tropika, hutan separa alpine, dan sehingga tumbuhan renek pada kearas tinggi. Ia telah dikelaskan sebagai Pusat Kepelbagaian Tumbuhan Asia Tenggara dan amat kaya dengan contoh tumbuhan flora dari Himalaya, China, Australia, Malaysia termasuk tumbuhan tropika sejagat.

Kini Taman Negara Kinabalu berada dibawah pentadbiran Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah.


Bandaraya Melaka dan Geoge Town (2008)


Bandaraya Melaka, bandaraya bersejarah merupakan ibu negeri Melaka. Bandaraya ini terletak di tengah negeri Melaka dan tidak begitu jauh sekali dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Bandaraya ini merupakan bandar ke-8 diwujudkan di Malaysia. Bandaraya ini diisytiharkan sebagai UNESCO Tapak Warisan Dunia selain daripada Georgetown, Pulau Pinang pada 7 Julai 2008.

Bandaraya Melaka terletak berhampiran muara Sungai Melaka yang mengalir ke Selat Melaka. Kawasan bandar bersejarah yang terletak berhampiran dengan pantai, termasuk Bukit St Paul dengan runtuhan kubu Portugis, A Famosa. Bandar Melaka telah berkembang dalam semua arah dari teras bersejarah ini, termasuk ke selatan (kerana pantai Selat Melaka sekarang agak lagi ke selatan daripada lokasi asal disebabkan penambakan tanah). Bandaraya Bersejarah Melaka juga berkembar dengan lima buah bandar terkemuka yang lain iaitu - Lisbon, Portugal (16 Januari 1984), Kuala Lumpur, Malaysia (15 April 1989), Hoorn, Belanda (8 November 1989), Valparaiso, Republik Chile (24 June 1991) dan Nanjing, China (2001).


Sejarah kesultanan Melaka bermula dengan kedatangan Parameswara, seorang raja Srivijaya dari Palembang, yang memerintah pada tahun 1400 hingga 1424. Nama Melaka diambil sempena nama pohon tempat Parameswara berteduh. Pada ketika itu, satu perkara aneh berlaku di mana seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja. Melihatkan kejadian itu Parameswara merasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai Negeri Melaka. Kesultanan ini memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewas oleh pihak Portugis pada tahun 1511.

Empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, dan terdiri daripada Tanah Melayu, (kini, Semenanjung Malaysia), Singapura, dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan (pulau Jawa). Semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melaka, lahirlah nama-nama besar seperti Tun Perak, Hang Tuah lima bersaudara yang merupakan pahlawan besar ketika itu.


Sultan Mahmud Shah, Sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka, merupakan mangsa keadaan disebabkan Portugal pada awal abad ke-16 sedang meluaskan kuasanya ke luar negara bagi merealisasikan impiannya iaitu 3K (Keagamaan, Kekuasaan, Kekayaan).

Melaka dikuasai oleh pihak Portugis di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 24 Ogos 1511. Ia menjadi suatu pangkalan strategik bagi pengembangan pihak Portugis di Hindia Timur dan diperintah oleh mereka selama 130 tahun.

Pada tahun 1641, pihak Belanda menguasai Melaka dengan menewasan pihak Portugis melalui bantuan Sultan Johor. Walaubagaimanapun, pihak Belanda tidak berminat menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan di antara Timur dan Barat tetapi lebih mementingkan pembangunan Batavia (Jakarta) di Indonesia sebagai pusat pentadbiran mereka. Mereka menyerahkan Melaka kepada pihak British mengikut Perikatan British-Belanda pada tahun 1824.

Dari 1826 hingga 1867, Melaka diperintah oleh V.O.C. (British East India Company), dan kemudiannya menjadi sebuah tanah jajahan British. Kemudian, pada tahun 1946, ia menjadi salah satu Negeri Selat (Straits Settlement), bersama-sama dengan Singapura dan Pulau Pinang.

Selepas pembubaran tanah jajahan, Melaka dan Pulau Pinang telah menjadi sebahagian daripada Malayan Union yang kemudiannya menjadi Malaysia pada tahun 1963.

Melaka diisytiharkan sebagai "Bandaraya Bersejarah" pada 15 April 1989 oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir bin Mohammad


George Town (juga disebut sebagai "Tanjung" oleh masyarakat tempatan) atau Georgetown adalah ibu negeri Pulau Pinang, Malaysia dan bandaraya utara Malaysia.

Dibuka pada tahun 1786 oleh Kapten Francis Light, George Town mempunyai bilangan penduduk melebihi 700,000 orang[perlu rujukan]. Bandar-bandar satelit George Town termasuklah Air Itam, Bayan Lepas, Glugor, Jelutong, Sungai Dua, Sungai Nibong, Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah. Zon Metropolitan Georgetown yang merangkumi bandar-bandar satelit di Pulau Pinang; Butterworth, Kepala Batas, Bukit Mertajam dan Sungai Bakap di Seberang Perai. Zon Metropolitan Georgetown merangkumi sebahagian daripada kawasan selatan Kedah kerana negeri Pulau Pinang adalah kecil ( 1048 km2 ), iaitu hanya hampir separuh daripda keluasan Daerah Johor Bahru iaitu 1816 km2 .

George Town juga dikenali sebagai Tapak Warisan Dunia di Malaysia bersama Bandaraya Melaka. Jeti Pulau Pinang juga terletak di Pengkalan Weld sini. Terminal bas 'Rapid' turut terletak dekat sini. Di sini juga terdapat kampung-kampung atas perairan moden seperti di Kuala Sepatang, Taiping, Perak.


Georgetown pernah menjadi bandar raya terpenting di Semenanjung Malaysia dengan memainkan peranan sebagai pusat kewangan dan pelabuhan, iaitu sebelum pembangunan Kuala Lumpur. Sebelum 1 Januari 1957, Majlis Bandaraya George Town dan Majlis Daerah Luar Bandar Pulau Pinang telah diwujudkan di bawah peruntukan Ordinan Perbandaran Negeri-negeri Selat (Capt.133) dan Enakmen Lembaga Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Capt.137). Status Bandaraya telah diberikan kepada George Town (Royal Charter By Queen Elizabeth II Sovereign of United Kingdom) pada 1 Januari 1957. Pada 1 Januari 1974, Pihak Berkuasa Negeri (Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan, Peruntukan-peruntukan Sementara 1973) telah mengisytiharkan percantuman Majlis Bandaraya George Town dan Majlis Daerah Luar Bandar Pulau Pinang dan dikenali sebagai Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan. Seterusnya pada 15 Disember 1976, Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan Pulau Pinang telah digantikan dengan nama Majlis Perbandaran Pulau Pinang dengan penguatkuasaan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang telah bersetuju pada 25 Jun 2010 agar Majlis Perbandaran Pulau Pinang dinaiktaraf kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang berpandukan peruntukan bawah seksyen 4(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Sehubungan dengan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan meluluskan cadangan persempadanan baru kawasan Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Dengan itu, pada 28 Mac 2013 Pihak Berkuasa Negeri di bawah seksyen 4(3) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan berunding dengan Menteri dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya secara pemberitahuan melalui Warta bahawa sempadan kawasan Majlis Perbandaran Pulau Pinang diubah dengan menambah kawasan tebusguna. Selaras dengan itu, pihak Kerajaan Negeri telah membentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Saiz Perkhidmatan Awam pada 9 April 2014 mengenai penambahan sempadan (tebus guna) kawasan Majlis Perbandaran Pulau Pinang iaitu sebanyak 8.773km persegi menjadikan keluasan Majlis kini 305.773 km persegi (asal 297 km persegi). Pembentangan tersebut juga merangkumi penambahan jawatan sebanyak 388, menjadikan jumlah perjawatan kini sejumlah 3964 (asal 3576). Pengiktirafan Majlis Bandaraya Pulau Pinang memperlihatkan penambahan 4 jabatan baru iaitu Jabatan Landskap, Jabatan Warisan, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Permbersihan Awam. Justeru, Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 7 November 2014 telah bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengubah sempadan MPPP dan seterusnya menaiktaraf MPPP ke MBPP. Selaras dengan itu, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pengisytiharan MPPP kepada MBPP berkuatkuasa 1 Januari 2015 pada 10 Mac 2015 .

Lembah Lenggong (2012)


Lembah Lenggong terletak di Lenggong, Hulu Perak, Malaysia. Lembah ini merupakan kawasan yang disaliri oleh Sungai Lenggong dan ranting sungainya.

Lembah Lenggong menjadi penting kerana pelbagai artifak sejarah ditemui di sini seperti Perak Man. Kawasan ini merupakan kawasan tempat tinggal manusia yang paling awal yang diketahui di Semenanjung Malaysia.

Pada 2 Julai 2012, UNESCO telah mewartakan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong sebagai salah satu dari Tapak Warisan Dunia UNESCO. Warta pemasyhuran telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO.


Lembah Lenggong merupakan tapak arkeologikal di mana wujudnya bukti-bukti penempatan manusia semenjak zaman Paleolitik telah ditemui. Tapak-tapak arkeologikal penting termasuk Kota Tampan, Bukit Jawa di Kampung Gelok dan Kampung Temelong. Penemuan arkeologikal paling terkenal di Lenggong adalah Orang Perak (Perak Man), rangka peninggalan berusia 11,000 tahun yang ditemui pada 1990. Peralatan batu berusia 100,000 tahun telah digali dekat Kampung Geluk dan Kampung Temelong. Di sana telah telah ditemui bukti bahawa Gua Harimau merupakan tapak penghasilan peralatan gangsa semasa Zaman Gangsa. Terdapat juga Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan di mana artifak yang digali dari kawasan sekitar dipamerkan. Muzium itu terletak dalam lingkungan satu ladang kelapa sawit di jalan dari Kuala Kangsar ke Gerik (atau Grik).


Rangka manusia paling tua ditemui di Malaysia terdapat di Lenggong. Lokasinya yang tepat adalah di Gunung Gua Runtuh, sebuah gua tempat persemandian terakhirnya yang terletak di Bukit Kepala Gajah di Lembah Lenggong di Ulu Perak. Rangka tersebut merupakan seorang lelaki dengan satu ketinggian kira-kira 157 cm, yang berusia sekitar 50-an. Ia ditemui pada 1991 dan rangka tersebut telah dikenal tarikh sebagai berusia sekitar 11,000 tahun. Pada tahun 2004, satu lagi rangka telah dijumpai di Teluk Gua Kelawar di Lenggong, Perak oleh satu pasukan ahli arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM). Kali ini ia adalah adalah 'Wanita Perak' dengan ketinggian 148 cm dan dipercayai berusia 40-an.

Satu kawasan pengeluaran peralatan batu yang tidak diganggu di mana peralatan kerikil dihasilkan dengan menggunakan alat seperti andas dan tukul batu telah digali di tapak arkeologikal Kota Tampan. Bengkel ini bertarikh semenjak 75,000 tahun dahulu.


Meneroka khazanah diiktiraf dunia
Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA


MALAYSIA sememangnya terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongannya yang unik dan tersendiri. Daripada warisan sejarah silam, keindahan alam semula jadi, kejernihan pantai dan pulau-pulau serta kepelbagaian budaya masyarakatnya telah menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia.

Kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan di negara ini bukan sahaja mengundang kebanggaan rakyat, malah turut mendapat pengiktirafan dunia.

Sedar atau tidak, Malaysia kini mempunyai empat Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ia sekali gus menjadikan negara ini sebaris dengan negara-negara lain yang pernah menerima pengiktirafan sedemikian sebelum ini.

Horizon minggu ini cuba meneroka empat lokasi Tapak Warisan Dunia yang berupaya mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Taman Negara Gunung Mulu

Terletak di sebelah utara negeri Sarawak, Taman Negara Gunung Mulu (TNGM) merupakan salah satu daripada destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia.

Mempunyai keluasan lebih 544 kilometer persegi, ia mula diwartakan sebagai taman negara pada 3 Oktober 1974.

Dengan dikelilingi tiga buah gunung iaitu Gunung Mulu (2,376 meter), Gunung Api (1,750 meter) dan Gunung Benarat (1,585 meter), Taman Negara Mulu mempunyai kepelbagaian bio yang menakjubkan.

Kawasan hutan yang terdiri daripada jenis paya gambut, rawa, dipterokap, lumut serta tumbuhan gunung menempatkan ribuan spesies flora dan fauna.

Puncak Pinnacles pula menjadi mercu tanda bagi Gunung Mulu. Bagi mereka yang sukakan cabaran, bolehlah cuba mendaki ke puncaknya yang dipenuhi bantuan dan ngarai dalam yang terhasil secara semula jadi.

Tatkala berada di TNGM jangan lupa mencuba aktiviti penerokaan gua yang menjadi identitinya selama ini. Di banjaran Mulu sahaja terdapat 76 buah gua secara keseluruhan di mana hanya 24 buah sahaja yang baru diteroka oleh pengembara.

Antara gua yang wajib dikunjungi pastinya Sarawak Chamber. Ia cukup besar dan luas serta dikatakan mampu memuatkan lapan jet jumbo 747.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh meneroka beberapa tarikan lain yang tidak kurang hebatnya seperti Gua Rusa atau Gua Air Jernih.

Bagi pencinta alam semula jadi, perasaan kagum pasti hadir melihat keunikan formasi stalagmit dan stalagtit serta pelbagai arca yang terhasil akibat proses geomorfologi yang berlaku. Ia diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia pada November 2000.

Taman Kinabalu


RUMAH Teh Bunga di Jalan Hutton ini menyimpan pelbagai kisah sejarah silam di George Town.

Kunjungan ke Sabah seakan tidak lengkap sekiranya berkunjung ke Taman Kinabalu. Memakan masa kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Kinabalu, taman negara seluas 75,370 hektar itu menjanjikan pelbagai tarikan kepada pengunjung yang mahu lari jauh daripada riuh dan hingar kota.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di situ antaranya, mendaki Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dan diiktiraf sebagai gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara.

Sejak Sir Hugh Low melakukan pendakian yang pertama menawan puncak gunung itu pada tahun 1851, saban tahun ia terus menggamit ribuan pendaki dari dalam dan luar negara.

Kepelbagaian bio yang amat tinggi di taman ini menyebabkan ia diwartakan sebagai taman negara pada tahun 1964.

Dianggarkan Taman Kinabalu mempunyai antara 5,000 hingga 6,000 spesies tumbuhan berbunga, 621 spesies paku-pakis dan lebih 1,000 spesies orkid sekali gus menjadikan ia terkenal dalam kalangan penyelidik dari seluruh dunia.

Keunikan dan kepelbagaian yang ditawarkan menyebabkan ia turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember tahun 2000.

Bandaraya Melaka dan George Town

Terletak di perairan Selat Melaka, bandar raya Melaka dan George Town merupakan contoh bandar kolonial bersejarah yang cukup menarik untuk dilawati di negara ini.

Menjadi laluan perdagangan terpenting di rantau ini satu ketika dahulu, kedua-dua bandar raya itu memaparkan warisan kepelbagaian budaya serta tradisi Asia dan Barat yang masih terpelihara, tempat pertembungan pelbagai agama dan budaya.

Kehadiran pelbagai elemen melalui aktiviti perdagangan itu diterjemahkan melalui keunikan seni bina bangunan, masyarakat, bahasa, perayaan, tarian, busana, seni dan muzik, makanan serta cara hidup seharian

Di Melaka misalnya, pengunjung berpeluang meneroka keunikan dan tradisi masyarakat Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan Chingay yang masih diamalkan sehingga kini.

Di samping itu, bandar raya itu juga terkenal dengan warisan peninggalan penjajah daripada era kolonial Portugis, Belanda dan Inggeris.

Antara bangunan yang terkenal di situ ialah A Famosa, kota yang dibina Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511.

Menjadi bandar raya kedua terbesar di Malaysia dengan bilangan penduduk melebihi 700,000 orang, George Town banyak dipengaruhi penjajahan Inggeris bermula pada tahun 1786.

Dianggarkan terdapat lebih 4,000 bangunan bersejarah di bandar raya itu yang berunsurkan era kolonial, Islam, Cina, Anglo India dan sebagainya.

Antara bangunan warisan yang menjadi tumpuan pelancong ialah Rumah Syed Al-Atas, Tokong Khoo Kongsi, Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Tokong Yap.

Pada Julai 2008, Melaka dan George Town telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO bagi kategori tapak budaya.

Lembah Lenggong


LEMBAH Lenggong menyimpan sejarah tamadun manusia yang dipercayai wujud sekitar 1.83 juta tahun lalu.

Sejak penemuan rangka Perak Man pada 2001 dan Perak Woman pada 2004, nama Lembah Lenggong yang terletak di daerah Hulu Perak terus dikenali di peringkat antarabangsa.

Penemuan-penemuan saintifik yang dilakukan oleh penyelidik tempatan sebelum ini telah membuka pintu rahsia kehidupan masyarakat awal di rantau ini.

Ia terbukti menyimpan rahsia besar sejarah kehidupan manusia dan sejarah tamadun manusia yang pernah wujud dipercayai sekitar 1.83 juta tahun lalu.

Kawasan itu juga dipercayai menjadi laluan keluar terawal manusia dari Afrika menuju ke Australia selain dianggap ‘ibu kota’ Malaysia.

Bukit Bunuh misalnya, menjadi pilihan penempatan awal manusia kerana ia kaya dengan pelbagai sumber alam dan keperluan untuk menyediakan peralatan batu.

Penemuan kapak genggam pada tahun 2009 membuktikan kawasan itu merupakan satu-satunya tapak manusia Paleolitik yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu.

Di samping itu, terdapat beberapa bukti lain yang turut dijumpai di sekitar Kota Tampan dan Gua Teluk Kelawar seperti tembikar, peralatan gangsa dan sebagainya.

Pada 1 Julai yang lalu, Lembah Lenggong telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menjadikan, ia tapak keempat seumpamanya di negara ini.

Bagi pengunjung yang mahu melihat kesemua artifak itu dengan lebih dekat bolehlah berkunjung ke Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan, Mukim Temelong, Lenggong.

Dibuka sepenuhnya pada tahun 2001, ia merupakan muzium prasejarah pertama di negara ini.

kosmo

Comments