Syed Ahmad Jamal : Bapa Seni Lukis Moden

Bapa seni moden Malaysia
Oleh BASIR ABU BAKAR



TARIKH 30 Julai baru-baru ini negara dikejutkan dengan kematian tokoh terkemuka bidang seni rupa, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal.

Ketika umat Islam sibuk menyambut kedatangan Ramadan, Seniman Negara yang berasal dari Muar, Johor itu meninggal dunia di kediamannya pada pukul 9 malam ketika berusia 82 tahun.

Pemergiannya satu kehilangan besar bagi negara sekaligus memberi kesan kepada institusi seni dan pendokong karya seni di negara ini dan antarabangsa. Ini kerana seni itu telah menjadi darah daging tokoh keramat tersebut sejak 53 tahun lalu.

Beliau satu-satunya tokoh seni terulung sepanjang zaman dalam ruang lingkupnya yang tersendiri.

Allahyarham merupakan antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Balai Seni Lukis Negara, malah pernah memegang jawatan Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari tahun 1983 sehingga tahun 1991.


SYED AHMAD JAMAL merupakan satu-satunya pelukis yang dinobatkan sebagai tokoh Seni Negara yang komited dengan dunia seni rupa.

Allahyarham merupakan seorang pelukis yang berbakat besar dan telah menghasilkan karya-karya seni yang penuh penghayatan untuk tatapan para pencinta seni sehinggalah ke hari ini.

Beliau juga mengadakan pameran solo bagi mempamerkan hasil-hasil karya beliau untuk tatapan umum. Antara termasuklah pameran Antara Langit & Bumi, Ruang dan On & Off King’s Road.

Walaupun susuk tubuhnya mungkin tidak dikenali generasi terkini yang tidak meminati seni rupa berbanding seni hiburan, namun allahyarham secara eksklusif mempunyai pendokong dan pengikutnya yang tersendiri.

Malah, tidak salah dikatakan beliau umpama mahaguru seni yang tiada pencabar dan memiliki aura yang tersendiri.

Beliau dianugerahkan Hadiah Seni Negara pada tahun 1995 dan pelbagai anugerah lain kerana penglibatannya dalam seni rupa.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan SAJ, sangat terkenal dengan keberaniannya merakamkan peristiwa-peristiwa kemanusiaan termasuk politik negara dan dunia dalam setiap perjalanan karya seninya.

Dalam pada itu, allahyarham turut menerima pelbagai tanggapan berikutan lukisannya yang menyentuh kemerdekaan, pembangunan negara dan politik di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, perjuangan Palestin, peristiwa politik tahun 1998 dan tsunami pada tahun 2004.

Bagaimanapun, allahyarham secara peribadi enggan menyertai mana-mana parti politik tetapi tetap lantang menyuarakan pandangan dan mengambil pendirian terhadap isu-isu kritikal yang berlaku di persekitarannya.


Wajah SAJ (kanan) turut menjadi subjek yang dirakamkan di atas kanvas oleh pelukis muda sebaris dengan pelukis tersohor lain.

Menyorot pandangan rakan-rakan yang mengenali beliau, Raja Ahmad Aminullah mengakui sangat mengagumi SAJ yang dianggapnya sebagai satu-satunya seniman negara dalam seni rupa (lukisan dan arca) yang tiada tolok bandingnya.

Menurut Raja Ahmad, SAJ juga merupakan satu-satunya pelukis yang dinobatkan sebagai tokoh seni negara, selain merupakan seorang pendokong seni yang komited dengan dunia seni tanah air sehingga akhir hayatnya.

“Buktinya semasa saya menganjurkan festival seni antarabangsa, Pekan Seni Ipoh pada 1995 hingga 2000, SAJ banyak membantu menjayakan festival tersebut. Malah, sehingga sekarang apa sahaja aktiviti seni yang dianjurkan dia pasti terlibat.

“Beliau merupakan salah seorang jawatan kuasa pengelola festival tersebut banyak memberi idea selain bertungkus-lumus membanting tulang menggerakkan festival berkenaan,” kata pemilik galeri seni, R A Fine Arts itu.

Jelas Raja Ahmad lagi, SAJ merupakan seorang seniman yang berjiwa besar dalam menggalakkan kegiatan seni orang muda di negara ini sekaligus mengangkat nilai seni tanah air ke persada yang lebih tinggi setanding dengan Barat.

Pelukis yang banyak merakamkan peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan sejarah negara ini dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Pusu, Gombak, 31 Julai, 2011.

Mentor seni rupa


Foto SAJ (barisan kedua empat dari kiri) yang dirakamkan dari buku mengenai Allahyarham berjudul Syed Ahmad Jamal: Pelukis.

Allahyarham meninggalkan balu Datin Hamidah Mohd. Noor, 69 dan dua anak lelaki, Syed Nabi, 39 dan Syed Nurlhaq, 35.

Selain itu, seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya, Jailani Abu Hassan, 48, berkata, SAJ merupakan seorang yang boleh dianggap sebagai teman dan mentor seni rupa.

Beliau mula mengenali SAJ sejak menuntut di Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai UiTM pada tahun 1985 melalui buku sejarah seni Malaysia.

“Saya mula mengenali SAJ dan menjadikan dia sebagai ikon diri saya melalui pembacaan buku sejarah seni Malaysia.

“Namun, secara peribadi saya mengenali peribadi sosok tubuh SAJ bermula pada 1996,” katanya.

Pada pandangan Jailani, SAJ merupakan seorang yang berilmu tinggi namun, penuh dengan rasa rendah diri. Allahyarham suka berseloroh dan tidak kering dengan nasihat.

Pengenalan awal dengan SAJ berlaku ketika tokoh seniman negara itu merasmikan pameran seni solo Jailani pada tahun 1996.

“Walaupun saya tidak berapa mengenali SAJ secara peribadi. Namun, beliau sentiasa prihatin dan sering memupuk semangat seni kepada pelukis-pelukis muda seperti saya,” kata anak kedua dari lima adik-beradik itu.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka di UiTM itu mengakui SAJ umpama seorang bapa yang sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak seni yang masih muda ketika ini.

Rasa hormat Jailani dengan SAJ sangat tinggi. Walaupun SAJ berfahaman tradisional dalam ilmu seni lukis, beliau tidak pernah menolak idea-idea baru golongan generasi muda.

Sehingga ke saat ini, semua lukisan-lukisan SAJ yang bergaya tradisional modenis masih menjadi rujukan terutama dalam perbincangan seni modenisme Malaysia.

“Tidak keterlaluan jika pelukis-pelukis kontemporari Malaysia, terus meletakkan beliau sebagai bapa seni moden Malaysia.

“Acap kali bila bertemu saya di acara-acara pameran beliau akan mengusik dengan spontan mendendang korus lagu Keindahan Pantai, ’Jai..Jai..Jai..Jai..’,” imbas bapa kepada dua anak itu.

Sementara itu, Datuk Mohd. Yusof Ahmad, yang baru memegang jawatan Ketua Pengarah di Balai Seni Lukis Negara juga sangat mengagumi Syed Ahmad Jamal dan mula mengenali peribadi seniman negara itu dari lukisan dan penceritaan orang lain yang mengenali arwah.


SEMUA karya lukisan Syed Ahmad Jamal menggambarkan perjalanannya sebagai pelukis.

Mohd. Yusof sangat berbesar hati dan merakamkan setinggi penghargaan kepada SAJ di atas sumbangan dan sokongan beliau terhadap program Balai Seni Lukis Negara dan institusi seni negara.

Allahyarham katanya, sentiasa hadir ke setiap program yang dianjurkan Balai Seni Lukis Negara sebelum beliau mula sakit sejak enam bulan lalu.

Kontroversi

Menurut Mohd. Yusof, Balai Seni Lukis Negara menyimpan 27 buah karya lukisannya dari tahun 1989 hingga 2009 yang terlalu tinggi nilainya.

“Semua karya lukisannya yang ada di sini menggambarkan perjalanan dan perkembangan SAJ sebagai pelukis. Berikutan itu, bagi menghargai jasa beliau Balai Seni Lukis bercadang akan mengadakan pameran biografi Syed Ahmad Jamal pada 18 Ogos ini,” ujarnya.

Akui beliau, perjuangan dan kecintaan allahyarham dalam bidang itu sangat tinggi.

Buktinya, salah satu karya beliau iaitu sebuah arca awam bertajuk Puncak Purnama (1986) pernah diubah secara fizikal oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas alasan membaikpulih.

Ekoran itu, Syed Ahmad Jamal tidak dapat bersabar lagi lalu bertindak menyaman Datuk Bandar dan DBKL sebanyak RM5 juta sebagai tuntutan bagi teladan dan gantirugi hakcipta. Akhirnya cubaan beliau memartabatkan seni di mata masyarakat dan dunia berjaya.

Beliau berjaya dalam tuntutan tersebut walaupun rayuan kes berkenaan ke mahkamah tinggi sekadar mengurangkan jumlah tuntutan yang dikeluarkan mahkamah rendah.

kosmo

kg sungai cincin
Syed Ahmad Jamal


Syed Ahmad Jamal (1929-2011): Bapa Seni Lukis Melayu Moden Malaysia
Oleh : Faizal Sidik


Syed Ahmad Jamal dilahirkan pada 19 September 1929 di bandar Maharani Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Tambatan Rendah dari tahun 1936 hingga 1938. Kemudian beliau melanjutkan persekolahannya di Sekolah Tambatan Tinggi pada tahun 1939; Ngee Heng English School, 1940; Bukit Zahra English School dan English College, Johor Bahru hingga tahun 1949.

Beliau mendapat biasiswa Sultan Ibrahim dan dengan biasiswa tersebut beliau telah melanjutkan pelajaran di Birmingham School of Architecture pada tahun 1950. Pada tahun 1951 hingga 1955, beliau melanjutkan pelajaran di Chelsea School of Art, London. Setahun kemudian beliau belajar pula di Institute of Education, London University. Semasa di Chelsea School of Art, beliau memenangi beberapa hadiah dalam pertandingan dalam seni lukis.

Setelah pulang dari England, beliau menjadi guru di High School, Batu Pahat, Johor dari tahun 1956 hingga 1957. Pada tahun 1957, beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur. Diantara tahun 1958 hingga 1959, beliau menjadi pensyarah di Malayan Teacher’ College, Kirby, Lancs, United Kingdom dan pulang semula ke Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur pada tahun 1960. Pada tahun 1951 hingga 1963, beliau bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras.

Syed Ahmad Jamal merupakan nama yang amat sinonim dengan seni lukis Malaysia. Beliau adalah merupakan pelopor gerakan ekspresionisme abstrak di negara ini. Syed Ahmad Jamal merupakan seorang tokoh di dalam seni lukis yang paling berjaya di negara ini. Beliau mempunyai ketokohan dalam bidang berikut seperti sebagai pelukis, penulis, pereka, pendidik dan pemimpin seni.

Kebolehan yang merentasi pelbagai disiplin yang dimiliki menjadikan beliau sebagai sumber idea dan dalam menjana perkembangan seni lukis tanahair. Ilmu kesarjanaan dalam seni lukis serta falsafah dan estetika Melayu yang dipegang, menjadikan beliau tempat rujukan kepada pelajar, ahli akademik, dan pengiat seni lukis ( pelukis, kurator, galeri dan kolektor) di Malaysia. Di kalangan pelukis tanahair, Syed Ahmad Jamal telah dianggap sebagai pelopor seni lukis abstrak yang bernada nusantara bermula pada tahun-tahun 1960 an dan 1970 an.

Beliau mengetuai Wednesday Art Group dan Art Council Malaysia pada awal tahun 1960 an. Beliau juga pernah menjadi pensyarah tamu Universiti Malaya pada 1975 hingga 1979, kewibawaan dan kepimpinan beliau mula terserlah dimana beliau dilantik menjadi Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Malaya yang pertama daripada 1979 hingga 1983 dengan mengasaskan kepada penubuhan Muzium Seni Asia di Universiti Malaya sebelum menerajui sebagai Pengarah Balai Seni Lukis Negara pada 1983 hingga 1991. Kepimpinan dan kewibawaan Syed Ahmad Jamal di dalam bidang seni lukis sememangnya telah terbukti. Beliau telah di beri kepercayaan dan penghormatan untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah, Ahli Lembaga Penasihat dan Pengerusi kepada pertubuhan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan bidang seni visual ini.

Sebagai budayawan yang mempunyai cara pandangan dan falsafah kesenian Melayu yang halus, beliau menterjemahkan pengalaman ini melalui bukunya yang bertajuk ‘Rupa dan Jiwa’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka semasa menjadi karyawan tamu dan penyelidik di DBP pada 1991-1992, beliau telah melukiskan pengamatannya terhadap unsur-unsur kesenian dalam nilai-nilai dan kebudayaan Melayu. Beliau juga cuba menggarapkan semula aspek rupa dan bentuk sesuatu unsur kepada seni rupa Melayu ini diolah dengan pengalaman bahasa seni yang bersifat sejagat melalui bentuk, gaya, gerak dan corak.

Bakat Syed Ahmad Jamal terserlah, beliau adalah pelukis yang terkenal serta mendapat sanjungan masyarakat seni dalam dan luar negeri. Antara kebolehan beliau ialah melukis dengan menggunakan pemikiran ilmu dan pengalaman berasaskan falsafah serta nilai-nilai Melayu. Beliau juga terlibat dalam membuat ‘Dasar dan Pemikiran’ tentang program dan pentadbiran kepada masyarakat umum. Selain daripada itu beliau juga terlibat dalam kritikan seni dan menulis berbagai kertas kerja, katalog pameran, majalah dan media massa.

Menyentuh tentang pengkaryaan beliau, ketika di London aliran ekspressionis dan ekspressinisme abstrak sedang melanda England itu. Gerakan tadi merupakan satu yang amat baru bagi beliau dan benar-benar memikat cara beliau berkarya. Beliau meminati ekspressionisme kerana ia menyedarkan satu landasan baru bagi menentukan arah dan tujuan arah seni secara perseorangan atau individu yang berbeza sedikit dengan seni tradisional yang bekerja secara berkelompok.

Untuk mengetahui perkembangan seseorang seniman atau artis rasanya tidak lengkap jika tidak melihat sentuhan-sentuhan awal penerokaanya iaitu di sekitar tahun 1950 an. Lukisan-lukisan berwajah herot dan abstrak yang bertunjangkan unsur tanahair cuba dihasilkan ketika masih menuntut di sana. Perubahan awal menggunakan kaedah tersebut melihatkan kejayaan awalnya apabila berjaya menghasilkan karya penting di awal karier iaitu ‘Mandi Laut’ (1957). Karya ini merupakan titik permulaan bagi Syed Ahmad Jamal untuk menempuh sejarah yang lebih gemilang dalam bidang seni lukis dengan pameran solo pertamanya di British Council, Kuala Lumpur pada tahun 1960.

Dekad 1960 an memperlihatkan fenomena abstrak ekspresionistik yang sangat dominan. Karya-karyanya mula menampilkan imej-imej abstrak dalam latar budaya setempat. Karya ‘Starry Night’ (1961), ‘Relationship’ (1964), ‘Lost’ (1965) ‘19.9.65’(1965) memperlihatkan ledakan tenaga abstrak ekspressionistik yang lincah, kental, padu dalam sapuan berus yang agresif dalam warna-warna ekspresif yang meninggalkan impak visual yang mempersonakan. Warna dan imej yang digunakan dalam beberapa karya-karya pada tahun 1960 an menganggu ketenteramana psikologi seolah –olah beliau sedang bergelut dengan dirinya sendiri.

Tahun 1970an menampilkan karya-karya kreatif dan memperlihatkan transformasi dalam kebebasan berkarya contohnya karya ‘Conference of Soul’ (1970) bertolak dari puisi ‘Sidang Roh’ karya penyair Kassim Ahmad yang pernah menjadi polimik dunia kesusasteraan pada ketika itu. Karya ini dihasilkan selepas tragedi 1969 berkenaan dengan pengertian terhadap kebenaran yang sentiasa berubah mengikut kehendak dan selera semasa.

Dalam karier sebagai pelukis siri ‘Gunung Ledang memuncakkan nama Syed Ahmad Jamal dalam menghasilkan karya-karya besar kepada khazanah negara seperti dalam ‘Semangat Ledang’. Pada tahap ini lukisannya amat bertenaga melambangkan keunggulan kaedah dan pemikiran yang didokongnya selama ini. Siri ‘Gunung Ledang’ mempertemukan dunia mistik kisah Puteri Gunung Ledang yang terdapat di dalam teks Sejarah Melayu yang berwajah tempatan kepada aspek penceritaan berkonsepkan barat iaitu dalam format catan.

Walaupun mendapat pendidikan Barat dalam bidang seni halus namun seniman Syed Ahmad Jamal tetap mengkagumi akar tradisi budaya Melayu untuk turut sama berada dalam setiap pengkaryaanya . Pada sekitar 1980 an maka lahirlah “Siri Songket” imej dari seni kraftangan anyaman tikar mengkuang mula tercipta seperti ‘Energy Mat’ (1980), ‘Terengganu’ (1986), ‘Siri Gunung Ledang’ (1987) dalam memaparkan keindahan tenunan tekstil Melayu tradisi yang diwarisi sejak turun temurun lagi.

Bentuk segitiga begitu dominan pada era ini, boleh dikatakan bentuk segitiga itu adalah motif pucuk rebung yang begitu banyak dalam rekabentuk tradisional masyarakat Melayu. Ia dianggap sebagai simbol kepada kesuburan, satu penyataan yang bersesuaian dengan kenyataan mengenai Gunung Ledang. Beliau seterusnya menyatakan bahawa motif segitiga tersebut menyerupai pohon hayat dan bunga semangat sebagai manifestasi alam semulajadi yang begitu dekat dengan rantau Asia Tenggara ini.

Tahun awal tahun 1990 an, Syed Ahmad Jamal bersara dari perkhidmatan awam. Hal ini memberikan beliau begitu banyak masa untuk terus bergerak aktif secara sepenuh masa dalam seni lukis pada pertengahan karier . Penglibatan yang tidak mengenal jemu selama enam puluh tahun berkarier dengan seni ini telah memberi peluang kepada beliau untuk menyumbangkan ke arah pembinaan dan perkembangan seni lukis moden Malaysia. Berdasarkan sumbangan penting beliau itulah kerajaan menganugerahkan Anugerah Seni Negara kepada beliau pada 1995 iaitu anugerah seni tertinggi Malaysia yang membawa gelaran Seniman Negara. Era ini memperlihatkan pula satu pendekatan yang berlainan pada karya-karya Syed Ahmad Jamal sebelumnya. Karya-karya beliau sangat mesra menyentuh isu sosial politik negara dan dunia luar di akhir tahun 1990 an.

Selepas itu beliau terus menaburkan baktinya kepada keseniaan negara dan pengorbanannya dihargai apabila dianugerahkan pingat Paglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk pada 1996. Pada tahun 2005 beliau menerima pengiktirafan sebagai Doktor (Kepujian) Pendidikan Seni oleh Universiti Sultan Idris (UPSI). Pengkaryaan Syed Ahmad Jamal mula berarah kepada manifestasi ketuhanan di akhir-akhir kariernya. Penghormatan institusi seni utama negara untuk mengadakan pameran retrospektif yang mempamerkan semula hasil karya beliau selama berkarier selama enam puluh tahun bertajuk ‘Syed Ahmad Jamal: Pelukis’ adalah pameran solo terbesar dan terakhir oleh beliau pada tahun 2009 di Balai Seni Visual Negara .

Dua tahun kemudian pada tanggal 31 Julai 2011 Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal meninggalkan dunia pada usia 82 tahun. Segala jasa dan ketokohan beliau dalam membangunkan seni lukis Malaysia akan dikenang sepanjang zaman oleh generasi seni visual di masa depan. Semoga rohnya diletakkan dikalangan orang yang terpilih. Amin.

Anugerah Syed Ahmad Jamal

1950 ‘Sultan Ibrahim Scholarship’
1962 ‘Indian Council for Cultural Relations’
1963-1964 ‘United State Department Award’
1969 Ahli Mangku Negara
1970 ‘Alliance Francaise Medallion’
1973 ‘East-West Centre Award’
1983 Kesatria Mangku Negara
1984 ‘Australia Cultural Award’
1987 ‘Cultural Award (Visual Art)’
1995 Anugerah Seni Negara
1996 Panglima Jasa Negara
2005 Doktor (Kepujian) Pendidikan Seni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
2008-2009 Pelukis Tamu, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur

faizalsidik

sidang roh
Syed Ahmad Jamal

Syed Ahmad Syed Jamal


Datuk Syed Ahmad Syed Jamal (19 September 1929 - 30 Julai 2011) adalah seorang pelukis tersohor di Malaysia. Beliau adalah pemenang anugerah Seniman Negara Malaysia 1995. Beliau berkahwin dengan Datin Hamidah Mohd Noor dan mendapat dua orang anak lelaki.

Pendidikan

Syed Ahmad Jamal lahir pada 19 September 1929 di Bandar Maharani, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Tambatan Rendah (1936-1938), sebelum ke Sekolah Tambatan Tinggi (1939), Ngee Heng English School (1940), Bukit Zahrah English School dan English College, Johor Bahru sehingga 1949.

Dengan bantuan biasiswa Sultan Ibrahim, beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Birmingham School of Architecture (1950) sebelum mengambil keputusan mengikuti pelajaran seni di Chelsea School of Art, London (1951-1955).

Kerjaya

Beliau menjadi guru di High School, Batu Pahat, Johor, dan bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur (1957). Peranannya sebagai pensyarah dilanjutkan di Malayan Teacher's College, Kirkby, United Kingdom (1958-1959) sebelum kembali semula mengajar di Maktab Perguruan Harian pada tahun 1960.

Beliau seterusnya berkhidmat sebagai ketua Jabatan Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras (1961-1963). Pada tahun 1963, beliau menerima biasiswa United States Department untuk melanjutkan pelajaran di School of Art Chicago, Amerika Syarikat.

Setahun selepas itu, beliau dilantik memegang jawatan Pengetua Maktab Perguruan Ilmu Khas sehingga 1972. Pada tahun 1973, beliau ditugaskan berkhidmat di Jabatan Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran.

Pada tahun 1973, Syed Ahmad Jamal memperolehi biasiswa East-West Centre untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di University of Hawaii.

Sekembalinya ke tanahair, beliau menjadi pensyarah lawatan di Universiti Malaya sehingga 1979, sebelum dilantik menjadi pengarah di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya. Tugas rasmi terakhir beliau adalah sebagai Pengarah Balai Seni Lukis Negara bermula tahun 1983 hingga1991.

Anugerah

Pada 1995 ,beliau dianugerahkan Hadiah Seni Negara. Pelbagai hadiah dan anugerah diterima sepanjang penglibatannya dalam seni lukis. Lukisannya ada dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur. Seterusnya dianugerah Seniman Negara.

Anugerah Syed Ahmad Jamal 1950 ‘Sultan Ibrahim Scholarship’ 1962 ‘Indian Council for Cultural Relations’ 1963-1964 ‘United State Department Award’ 1969 Ahli Mangku Negara 1970 ‘Alliance Francaise Medallion’ 1973 ‘East-West Centre Award’ 1983 Kesatria Mangku Negara 1984 ‘Australia Cultural Award’ 1987 ‘Cultural Award (Visual Art)’ 1995 Anugerah Seni Negara 1996 Panglima Jasa Negara 2005 Doktor (Kepujian) Pendidikan Seni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2008-2009 Pelukis Tamu, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur

Jasa

Dunia catan tanah air semenjak tahun 30-an hingga tahun 50-an didominasi gaya konvensional, Realis, Impresionis dan Ekspresionis. Pengaruh hasil kembara ilmu seni di luar negara mendorong Syed Ahmad Jamal berkarya stail Ekspresionis Abstrak dengan menggunakan idiom abstrak yang berasaskan kepada gerak isyarat (gestural) dan emotif. Dalam konteks Malaysia, beliau dianggap pelukis pertama yang menerokai catan non objektif melalui karya bertajuk "Umpan" (The Bait), sebuah karya agung yang dihasilkan pada tahun 1959.

Dalam karya ekspresi-emotif bersifat alegoris ini, pengaruh lukisan Cina, Barat serta khat Arabik jelas terpancar melalui sapuan deras berus yang melahirkan bentuk-bentuk kaligrafik mujarad. Penggunaan awal tulisan Jawi di dalam karya "Chairil Anwar" (1958) telah juga menjadikan Syed Ahmad Jamal sebagai pelopor seni lukis khat cat minyak atas kanvas.

Pernyataan popular Syed Ahmad Jamal iaitu "kesenian Malaysia bermula sekarang!" merupakan indikator penting kepada sebuah era baru seni lukis moden Malaysia pada zaman itu.

Sebagai seorang seniman yang senantiasa mengambil sikap (sehingga ke akhir hayatnya), Syed Ahmad Jamal, walau dalam sosok fizikal yang kelihatan 'gentleman', tetap mempunyai pendirian teguh bila memperkatakan tentang isu-isu yang berlegar dalam sfera sosial dan politik negara mahupun dunia.

Kebangkitan pelajar dan pemberontakan tenaga buruh di Paris demi perubahan sosial sewaktu Revolusi Peranchis 1968, protes-protes pembantahan Perang Vietnam di merata dunia, termasuk peristiwa berdarah 13 Mei 1969 di Malaysia merupakan antara adegan-adegan utama yang menjentik naluri kesenimanan Syed Ahmad Jamal untuk memberi respons secara visual.

Pelbagai tema dilukis. Antaranya tentang kemerdekaan, pembangunan negara dan politik di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, perjuangan Palestin, peristiwa politik 1998 dan tsunami pada 2004. Logo gerakan bukan kerajaan ADIL, atau Pergerakan Keadilan Sosial yang ditubuhkan sebagai respons tindakan-tindakan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas timbalan perdana menteri dan pemimpin Umno mendapat kecaman pihak parti kerajaan.

Meninggal dunia

Pada 30 Julai 2011, beliau meninggal dunia pada usia 82 tahun di rumahnya di Gombak, Selangor. Beliau meninggalkan isterinya Datin Hamidah Mohd Noor dan dua anak lelaki. Jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pusu, Gombak.

wiki

jendela di angkasa
Syed Ahmad Jamal

Comments