Menyongsong Arus



Menyongsong Arus
(mengenang Bahaman dan Mat Kilau)
Kemala

Sesekali arus wajar kusongsong
kalau tidak aku akan tetap mendap di kuala
di hulu sungai ada negeri sejuta tahun
beribu pohon belum disentuh
sejuta erang cengkerik di liang-liangnya
aroma daun dibasahi embun
gadis sunti menjabat puyuh di kaki gunung
"tak kulihat bayang pengembara jauh
menyelam di jeram dugaan
tak kutatap sayang meranum
dan berahiku gigil sendiri"
selasih di genggaman
dan kasih di pautan.

Sesekali arus kusongsong
untuk kukenal wajah kilatan maut
ambil cemuh, simpan di peti-peti besi
menunda-nunda serapah tuk batin
jejak pendekar padam sudah
batu-batu dihakis sejarah
seribu kerikil dengan gigi tajamnya
menyeringai menepis gerimis
"dialah yang melandai tubuhku
dentum peluru sepoi Inggeris
meringgis kulit, hanya desis
menyibak kebal embun tuju subuh
dia berwajah meninggal bayang
tak berwajah, hanya dentuman

menerjah cengal, membalik
berdebur ke sungai
penuntun mata angin
taufan dalam diri
serigala mengilau di mata
"nyeberang kuala trenggan!"

Sesekali arus wajar kusongsong
merempuh jeram
batu-batu hidup, angin berdarah
membawa alamat
"masih belum kiamat, dik
kau tiba pada senja
lewat seribu musim
aku menggenggam keris lok tujuh
kau menggumam pantun
dan gurindam. Namun
masih kita punya satu ibu!"

Sesekali arus wajar kusongsong
untuk kembalikan kilat diri
ke padang sasar sejarah.
Untuk mencium bau merbau dan keruing
dan terjemahkan
rintih sejuta cengkerik
di liang-liang rumahnya
di hutan purbawi ini.

Ada cermin
di dasar kali
ada amin di dasar hati
menyongsong kali
menyongsong diri.

Kuala Tahan
Taman Negara

Maksud

Rangkap 1
Sesekali penyajak berpendapat seseorang itu perlu menjadi pihak yang bertentangan arah. Jika tidak, mungkin kita akan berada ditakuk lama dan tidak berubah (jumud). Sesekali kita perlu meredah kepayahan dan berjuang.

Rangkap 2
Apabila kita berbeza pendapat atau prinsip, kita akan dapat mendengar cacian manusia yang selama ini diam tidak berkata apa-apa. Malah akan terbongkar sikap buruk sebenar pihak penjajah yang sebenarnya bersifat bengis dan zalim.

Rangkap 3
Terserlahlah segala sikap dan keburukan diri .

Rangkap 4
Sesekali kita perlu melawan arah dan berani meredah kepayahan. Pejuang dahulu berjuang dengan senjata tetapi kita kini berjuang melawan arah hanya dengan bahasa penulisan yang penuh dengan kiasan. Tetapi matlamat perjuangan tetap sama seperti pejuang dahulu (Bahaman dan Mat Kilau).

Rangkap 5
Kita memang perlu melawan arus sekali sekala kerana ia boleh mendidik diri kita mengerti tentang sejarah lama. Kita akan dapat merasakan kepedihan dan kesusahan lampau. Kemudian kita dapat terjemahkan kisah kehidupan lampau itu.

Rangkap 6
Penyajak menyatakan bahawa terdapat pedoman tanda dan harapan yang positif apabila menyongsong arus.

Keindahan bahasa

Bahasa perulangan telah melahirkan kesan keindahan dalam sajak ini. Perulangan melahirkan kemerduan dan nada yang berkesan di samping menyatakan kesungguhan dan fokus penyair terhadap isi sajak. Perulangan menyarankan tumpuan penyair terhadap kepentingan perubahan, perbezaan, dan melihat banyak perkara dari sudut yang berbeza-beza. Ia akan membawa nilai, pemikiran, dan kesan emosi yang berbeza lantaran keupayaan manusia merubah persepsi, cara berfikir dan tindakan.

Ungkap kata Sesekali arus wajar kusongsong dalam sajak ini membawa konotasi perubahan dalam persepsi, pemikiran, dan tindakan. Baris yang diulang dalam sajak ini cuba membina pengertian mendalam terhadap kepentingan seseorang menjadi berbeza atau mengamalkan apa yang di luar kebiasaan. Ia barangkali suatu yang sukar tetapi berupaya memberi kesan mendalam ke dalam warna-warni kehidupan.

Anafora pula menguatkan penegasan makna terhadap kepentingan perubahan dan pembaharuan sikap. Ia dapat dilihat pada baris berikut :
menyongsong kali
menyongsong diri.

Keindahan perulangan bunyi juga menerbitkan irama dan nada yang menarik dalam sajak. Kehadiran asonansi dan aliterasi membina kemerduan dalam bahasa sajak.
Contoh asonansi ialah :
Untuk mencium bau merbau dan keruing (Perulangan bunyi vokal u)
ada amin di dasar hati (Perulangan bunyi vokal a)

Manakala aliterasi pula dikesan pada baris berikut :
sejuta erang cengkerik di liang-liangnya (Perulangan bunyi konsonan g)
meringgis kulit, hanya desis (Perulangan bunyi konsonan s)

Sajak ini juga memiliki perulangan kata pada tengah baris. Ia menimbulkan kesan penegesan dan penghujahan makna yang mendalam:
dia berwajah meninggal bayang
tak berwajah, hanya dentuman

Keindahan bahasa sajak ini diperkukuh dengan kehadiran metafora yang puitis dan indah. Contohnya :
batu-batu hidup
padang sasar sejarah

Keindahan personifikasi pula berupaya melahirkan kesan imganasi yang mendalam dan mengukuhkan kesan puitis bahasa puisi. Contohnya :
rintih sejuta cengkerik
sejuta erang cengkerik


Citra masyarakat dalam sajak

Sesebuah sajak bertujuan untuk membina pemikiran, sikap, kesedaran dan gagasan yang dapat membawa pembaharuan dalam kehidupan. Ia membawa sarana pemikiran dan ungkap budaya untuk menarik kesedaran masyarakat atau pembaca dari tradisi atau pengaruh kebiasaan yang merugikan dan meletihkan. Kita tidak harus berdiri pada arus yang boleh mengalpakan dan melalaikan, atau membawa kerugian dan kekurangan kepada suatu masyarakat. Oleh itu perubahan dan kesedaran harus hadir dalam minda keinsafan pembaca untuk melepaskan segenap yang dianggap pautan tradisi atau kebiasaan agar dapat menemui dimensi dan tindakan baru.

Inilah antara harapan yang dilemparkan oleh penyair menerusi sajak Menyongsong Arus. Ia merupakan penampilan pemikiran dan cabaran minda kepada pembaca untujk melepaskan ikatan kebiasaan atau akur dengan adab yang merugikan. Perubahan ini suatu anjakan yang bukan mudah kerana ia memberi implikasi yang pelbagai. Membuang kebiasaan bermakna menidakkan tradisi yang sekian lama mengakarkan budaya dan pemikiran masyarakat.

Masyarakat yang paparkan dalam sajak ini cuba dikaitkan dengan perubahan dan keinginan melawan kebiasaan. Mereka yang berada dalam arus kebiasan akan menjalani hidup berpaksi arus masa yang akan menyerah kepada hukuman waktu atau nasib. Ia ibabat arus sungai yang semakin mengalir ke muara dan akan membawa lumpur dan mendap di muara. Ia tidak akan kembali lagi ke hulu sungai kerana menerima nasib yang telah ditetapkan :
Sesekali arus wajar kusongsong
kalau tidak aku akan tetap mendap di kuala

Upaya hidup tidak harus terhenti pada pinta nasib. Seseorang harus berupaya melawan arus dan mencabar diri sendiri untuk mencari kelainan dan perbezaan. Keupayaan untuk membawa pembaharuan dan dimensi hidup ini penting kerana setiap masa manusia masih memiliki peluang dan harapan. Yang penting adalah berusaha melawan arus masa dan mencari segenap kebaikan, berusaha gigih dan gigih berjuang. Inilah perubahan yang diharapkan oleh penyair agar manusia tidak selamanya tewas oleh ukiran masa dan sejarahnya. Perubahan sikap dan pemikiran amat perlu untuk meraih segala peluang dan kebaikan yang tersedia. Masyarakat tidak seharusnya terhukum oleh nasib dan kejahilan sebaliknya meneruskan perjuangan melawan arus masa untuk memperolehi segala manfaat darinya :
di hulu sungai ada negeri sejuta tahun
beribu pohon belum disentuh
sejuta erang cengkerik di liang-liangnya
aroma daun dibasahi embun
gadis sunti menjabat puyuh di kaki gunung
"tak kulihat bayang pengembara jauh
menyelam di jeram dugaan
tak kutatap sayang meranum
dan berahiku gigil sendiri"

Masyarakat yang berani berjuang dan membawa perubahan. Masyarakat tidak harus tinggal diam dan beralah tanpa menyungguhkan hasrat dan harapan untuk melepaskan segenap ancaman, pancaroba, dan pergolakan yang menimpa. Setiap zaman memiliki cabaran hidup yang tersendiri. Mereka yang pernah pergi meninggalkan kita hidup dalam zaman perjuangan menentang penjajah. Mereka telah bangkit dari tradisi dan kebiasaan bertujuan untuk menentang kezaliman dan menghapus ketidakadilan. Mereka berani menentang segenap yang dilihat tidak adil dan melawan kemanusiaan. Desakan dan dorongan semata-mata kerana mahu melihat pembelaan dan perubahan nasib masyarakat.

Cabaran zaman baru barangkali berbeza dengan zaman silam, namun perjuangan masih berada pada landasan membela keadilan dan menghapus kezaliman. Manusia harus berani merempuh cabaran kerana tanpa keberanian semuanya akan berada pada situasi yang tidak berubah. Anjakan pemikiran perlu dilakukan untuk menyesuaikan sikap dan tindakan yang membawa kepentingan dan kemuliaan bersama. Jika pejuang dulu berjuang dengan senjata mempertahankan maruah maka perjuangan masyarakat hari ini adalah melepaskan pemikiran dan sikap dari belenggu kebodohan dan kejahilan. Kontang akal dan tumpul fikir adalah penjajahan bentuk baru yang harus disingkirkan untuk masyakat berada dalam arus perubahan yang membawa segala kebaikan dan kepentingan umat.
Sesekali arus wajar kusongsong
merempuh jeram
batu-batu hidup, angin berdarah
membawa alamat
"masih belum kiamat, dik
kau tiba pada senja
lewat seribu musim
aku menggenggam keris lok tujuh
kau menggumam pantun
dan gurindam. Namun
masih kita punya satu ibu!"

Masyarakat harus disedarkan untuk berada pada sikap, pemikiran, dan nilai yang memberi manfaat bersama. Segala kejumudan akal harus dibuang kerana ia merupakan perangkap dan halangan kepada perubahan. Segala amalan yang boleh merugikan harus dibuang dari tindakan setiap orang kerana menyosong tradisi dan kebiasaan ini bukan mudah dan ia tidak membawa banyak keuntungan. Kesediaan harus ada pada setiap masyarakat untuk berani menyuarakan pembaharuan yang membawa manfaat dan kepentingan bersama. Kita tidak harus larut dalam sejarah yang beku sebaliknya berusaha membina perubahan dalam sejarah. Martabat bangsa perlu diperjuangkan untuik mengembalikan maruah dan darjat yang sekian lama begitu kuat ditatang. Kita tidak harus mengalah pada sejarah yang banyak mencoretkan kerugian dan kegagalan sebaliknya merebut perubahan yang membawa kebaikan :
Sesekali arus wajar kusongsong
untuk kembalikan kilat diri
ke padang sasar sejarah.
Untuk mencium bau merbau dan keruing
dan terjemahkan
rintih sejuta cengkerik
di liang-liang rumahnya
di hutan purbawi ini

Barangkali sajak ini boleh membawa perubahan dalam sikap dan fikir kita

Comments