Sastera Hikayat



Sastera Hikayat

Sastera hikayat dibahagikan kepada tiga kelompok yang meliputi hikayat berunsur Hindu, berunsur campuran Hindu dan Islam serta Hikayat berunsur Islam.

Hikayat berunsur Hindu ialah sastera yang menerima secara kuat pengaruh Hindu terutama dari Hikayat Ramayana dan Mahabharata. Contoh karya ialah Hikayat seri Rama dan Hikayat Pendawa Lima.

Hikayat berunsur campuran Hindu dan Islam kerana mempunyai unsur-unsur Hindu dan juga unsur-unsur Islam. Contoh karya ialah Hikayat Ahmad Muhammad dan Hikayat Si Miskin.

Hikayat berunsur Islam pula ialah hikayat yang menerima kuat pengaruh Islam dalam karya. Contohnya ialah Hikayat 1001 malam dan Hikayat Abu Nawas.

Ciri-Ciri Umum Sastera Hikayat

Latar tempat dalam cerita mencakupi alam nyata dan juga di alam ghaib seperti di kayangan, istana raja-raja jin, dewa-dewi dan juga alam hantu syaitan. Cerita Hikayat Pendawa Lima bertempat di istana Maharaja Gatotkaca dan istana Maharaja Baladewa. Cerita Hikayat 1001 malam pula di istana Raja Syahriar dan Raja Syah Zaman.

Watak dalam cerita meliputi manusia biasa, raja-raja, dewa-dewi, para jin, hantu syaitan dan juga binatang. Contoh dalam Hikayat Pendawa Lima melibatkan anak-anak raja iaitu dewa-dewa seperti Dewa Krisyna. Dalam hikayat Ahmad Muhammad melibatkan permaisuri dan Datuk Syahbandar. Sementara dalam Hikayat 1001 Malam melibatkan watak jin ifrit dan juga binatang seperti anjing, kuda dan lembu.

Tema dan persoalan dalam cerita biasanya melibatkan unsur percintaan, pengembaraan dan juga peperangan. Dalam Hikayat Ahmad Muhamad, kedua-dua watak telah lari dari istana kerana dikejar oleh 500 orang hamba Hambsyi yang diupah untuk membunuh mereka. Dalam Hikayat Pendawa Lima pula, sang Bimanyu telah keluar mengembara untuk mencari isterinya.

Plot cerita biasanya bersifat kronologi iaitu mengikut urutan masa dari awal sampai akhir cerita. Peringkat awal ialah peringkat pra pengembaraan, semasa pengembaraan dan selepas pengembara. Cerita berakhir secara happy ending. Dalam Hikayat Pendawa Lima, Sang Bimanyu telah memperolehi semula isterinya. Dalam Hikayat 1001 malam, Raja Syahriar dan Syahzaman telah berjaya membunuh semua isteri dan dayang yang telah berlaku curang.

Unsur luarbiasa dalam cerita. Termasuk dalam kategori ini ialah kuasa luarbiasa para dewa-dewi dan juga kepahlawanan watak utama dalam menghadapi musuh. Dalam hikayat Pendawa Lima, watak Sang Bimanyu digambarkan sangat berani, contohnya semasa berhadapan dengan hulubalang Maharaja Gatotkaca. Begitu juga keupayaan Ahmad dan Muhammad dalam menghadapi 500 musuh yang mengejar mereka.

Cerita kesusasteraan adalah ditulis untuk tujuan hiburan. Gambaran kecantikan puteri-puteri raja dan kehebatan atau kepahlawanan para putera raja berjaya menarik hati para pendengar.

Comments

  1. moning
    singgah pagi isnin

    ReplyDelete
  2. anda direview http://aiskrimvanillacoklat.blogspot.com/2013/05/personal-review-1.html

    ReplyDelete
  3. terima kasih nurzakiah, dan normi nieza
    terima kasih sahizatul sahimi atas review anda
    ia begitu bermakna

    ReplyDelete

Post a Comment