Syair Si Burung Nuri Satu


Syair Si Burung Nuri Satu

Maksud Keseluruhan

"Syair Si Burung Nuri Satu" ialah sebahagian petikan cerita daripada teks "Syair Si Burung Nuri". Syair ini merupakan syair yang berbentuk cerita (naratif). Ia tergolong dalam jenis cerita unggas (binatang) yang bersifat alegori (perbandingan atau kiasan). Meskipun cerita tentang unggas atau binatang, cerita ini boleh dibawa dalam konteks kehidupan, sikap, dan sifat manusia.

Petikan syair ini memaparkan kisah tentang seekor burung Nuri yang pandai berkata-kata. Kononnya, burung Nuri tersebut tinggal di Gunung Puteri dan berasal dari kayangan. Nuri sangat cantik; tubuh badannya berbau wangi, rupanya menarik, tutr katanya sopan, akal pemikirannya bijak, cahaya wajahnya bersinar, bulunya bersih bersinar, kukunya putih bersih, jari-jarinya cantik berbagai-bagai warna, dan tiada tandingan mana-mana raja di istana. Oleh sebab kecantikan dan budi bahasa yang baik, burung Nuri diangkat menjadi Penghulu atau Raja di udara(kayangan). Semua burung tunduk hormat dan mematuhi segala hukum-hakam yang dilaksanakan olehnya.

Pada suatu hari ketika Nuri berada di atas takhta, Nuri mengadu kepada Burung Punai bahawa badannya berasa tidak sedap. Nuri lalu masuk beradu. Semasa tidur, Nuri bermimpi bertemu dengan Bunga Cempaka Dadu yang sangat cantik. Nuri terkejut dan terjaga. Bayangan Cempaka Dadu yang hadir dalam mimpinya menimbulkan rasa asyik berahi dan rindu di hati Burung Nuri dan menggangu fikirannya. Burung Nuri kemudian bertitah kepada Si Burung Murai agar memanggil semua burung datang berkumpul di istana dengan segera. Murai berasa hairan dan bimbang memikirkan tujuan apakah Burung Nuri bersikap mengarahkan semua rakyat berkumpul. Setelah Murai bertemu dengan semua burung, Murai pun menjelaskan bahawa Nuri menitahkan semua burung berkumpul di istana.


Maksud

Rangkap 1
Ada satu cerita yang asyik dan menghairankan, dikisahkan orang, ada burung Nuri yang boleh berkata-kata, pandai bercakap.

Rangkap 2
Kononnya, burung Nuri tersebut tinggal di Gunung Puteri, berasal dari kayangan . Tubuh badannya berbau sangat wangi, tiada tandingan pada zamannya.

Rangkap 3
Rupanya sangat cantik, tutur katanya sangat sopan, pemikirannya(akal) sangat bijak, tiada tandingan mana-mana raja di istana.

Rangkap 4
Kerana kecantikan dan budi bahasa yang sangat baik, burung Nuri diangkat menjadi Penghulu kayangan.

Rangkap 5
Burung Nuri mempunyai cahaya wajah yang berseri-seri, bersinar, lemah lembut, dan sopan santun tutur katanya. Semua burung tunduk hormat dan mematuhi segala hukum-hakam yang dilaksanakan olehnya.

Rangkap 6
Matanya bersinar seperti permata manikam, bulunya bersih bersinar seperti permata zamrud, kukunya putih bersih seperti mutiara, dan jari-jarinya cantik berbagai-bagai warna.

Rangkap 7
Adalah dikisahkan, pada suatu hari ketika Nuri berada di atas takhta, ia mengadu kepada burung Punai bahawa badannya berasa tidak sihat.

Rangkap 8
Nuri lalu masuk beradu sambil dijaga oleh burung Beladu. Semasa tidur, Nuri bermimpi bertemu dengan bunga Cempaka Dadu yang sangat cantik. Nuri pun terkejut. Bayangan Cempaka Dadu yang hadir dalam mimpinya menimbulkan rasa asyik berahi dan rindu di hati Nuri.

Rangkap 9
Setelah terkejut jaga, Nuri cuba pejamkan mata untuk kembali menyambung tidurnya. Namun, bayangan Cempaka Dadu mengganggu fikirannya. Oleh sebab terlalu memaksa memejamkan mata, sedangkan fikiran terganggu, Nuri berasa badannya sangat letih, apatah lagi memikirkan maksud tadbir mimpinya tadi.

Rangkap 10
Setelah Nuri bangun dari tidurnya, Si Burung Beladu yang menunggu Nuri beradu terkejut melihat mata Nuri bengkak seperti seseorang yang sedang memikirkan suatu hajat yang tidak kesampaian. Si Burung Beladu bertanya kepada Nuri, apa sebabnya. Tetapi, Nuri diam, tidak menghiraukan pertanyaan Si Burung Beladu.

Rangkap 11
Menyedari hal itu, burung Beladu faham bahawa Nuri sedang susah hati, mungkin memikirkan suatu hajat berat yang sukar didapati. Maka, Si Burung Beladu pun diam, tidak lagi melanjutkan pertanyaannnya.

Rangkap 12
Burung Nuri kemudian keluar seorang diri menuju singgahsana. Burung Nuri kemudian bertitah kepada Si Burung Murai agar memanggil semua burung datang berkumpul di istana dengan segera.

Rangkap 13
Setelah Murai mendapat titah, Murai segera terbang mencari semua burung. Murai berasa hairan dan bimbang memikirkan sebabnya Nuri bersikap demikian. Apakah tujuan semua burung diarah berkumpul segera?

Rangkap 14
Setelah Murai bertemu dengan semua burung, Murai pun menjelaskan bahawa Nuri menitahkan semua burung berkumpul di istan dengan segera kerana ada perkara atau tugas penting hendak dikhabar atau dilaksanankan.

Tema

Syair ini memaparkan tema percintaan. Rasa kasih dan cinta Si Burung Nuri terhadap bunga Cempaka Dadu. Meskipun bunga Cempaka Dadu hanya hadir dalam mimpi, tetapi kehadirannya telah menyebabkan perasaan Si Burung Nuri tidak menentu, menyebabkan fikiran dan kesihatannya terganggu. Si Burung Nuri berhasrat untuk mencari Cempaka Dadu sampai bertemu.

Persoalan

Persoalan keperibadian raja yang bersopan santun, cantik dan gagah. Si Burung Nuri dianggap sebagai raja segala burung kerana keistimewaannya yang cantik, bijak, dan gagah selain tinggal di kayangan (udara)
Sangat bijak akan akalnya
Dalam istana sukar bandingnya

Persoalan kesetiaan rakyat terhadap raja.
Burung Nuri ditaati oleh semua rakyatnya dan menurut perintah raja untuk berkumpul
Sekalian burung dalam hukumnya
Tunduk hormat pada sekalinya

Persoalan kerinduan kepada kekasih.
Si Burung Nuri asyik memikirkan Si Bunga Cempaka Dadu hanya kerana melihatnya dalam mimpi saja.
Mimpi bersunting cempaka dadu
Ia terkejut hatinya rindu

Persoalan terlalu mengikut nafsu boleh menjejaskan kesihatan dan fikiran.
Fikiran dan kesihatan Si Burung Nuri terjejas diganggu oleh rasa cinta kepada Si Cempaka Dadu.
Mengapa balut warnanya mata
Seperti orang bersedih cita

Persoalan simpati terhadap kesusahan orang lain. Semua burung sedih apabila melihat keadaan Si Burung Nuri dalam keadaan sedih dan sugul.
Si Burung Beladu seraya berkata
Ayuh tuanku cahaya mahkota
Mengapa balut warnanya mata
Seperti orang bersedih cita



Gaya Bahasa

Asonansi
Contoh : Dilihat manikam kedua matanya
(pengulangan bunyi vokal a)

Aliterasi
Contoh : seraya keluar lalu berdiri
(pengulangan bunyi konsonan r)

Bahasa klasik
Contoh : cita, jamrut, masyghulnya

Inversi
Contoh : apakah gerakan akan maksudnya?

Kata ganda
Contoh : gilang-gemilang

Simile
Contoh : laksana mutiara akan kukunya

Nilai

Kebijaksanaan. Si Burung Nuri merupakan seorang raja yang bijaksana dan dikagumi rakyatnya
Sangatlah bijak akan akalnya
Dalam istana sukar bandingnya

Keadilan.
Raja perlu memerintah dengan adil dan bijak. Contohnya, Si Burung Nuri memerintah rakyat dengan adil dan bijaksana.

Kesetiaan.
Rakyat jelata menunjukkan taat setia dengan mematuhi segala arahan raja. Contohnya, segera melaksanankan tugas dengan amanah.

Simpati.
Kesedihan yang dialami oleh Si Burung Nuri mendapat simpati Si Burung Beladu

Kasih sayang.
Si Burung Nuri sangat mencintai kekasihnya, Si Bunga Cempaka Dadu sehingga sanggup mengembara ke luar istana untuk mencarinya.


Pengajaran

Seseorang pemimpin hendaklah mempunyai keperibadian yang mulia.
Contohnya, Si Burung Nuri ialah raja yang cantik, bijaksana , dan berkuasa.

Hendaklah memerintah rakyat dengan adil dan bijaksana.
Contohnya, Si Burung Nuri yang menjadi teladan kepada rakyat kerana mempunyai pekerti yang baik.

Hendaklah patuh dan taat kepada pemimpin.
Contohnya, rakyat segera berhimpun apabila diarahkan kerana raja hendak memberikan tugas penting.

Kita perlu menunjukkan rasa simpati terhadap kesusahan atau kesedihan orang lain. Contohnya, rakyat simpati dan segera menolong raja yang sedih dan menghadapi kesusahan.

Janganlah terlalu mengikut perasaan.
Contohnya, Si Burung Nuri terlalu sedih kerana perasaan asyik mahsyuknya terhadap Si Bunga Cempaka Dadu, menyebabkan fikiran dan kesihatannya terjejas.

Hendaklah sabar dalam menghadapi sesuatu dugaan atau kesulitan.
Si Burung Beladu sentiasa mencari jalan untuk memberi ketenangan dan memujuk Si Burung Nuri yang berada dalam kesusahan.

Comments