28 Apr 2017

tiang seri negara bangsa




RAJA SEBAGAI TIANG SERI NEGARA BANGSA

(Utusan Malaysia 24 April 2017)

Oleh: Ku Amirul Faiz Ku Seman

“YANG di-Pertuan Besar akan menjadi ketua negara, tetapi baginda mestilah menjadi raja berperlembagaan. Oleh itu, baginda mesti bertindak atas nasihat menteri bagi segala yang berkaitan dengan tindakan eksekutif. Baginda akan menjadi simbol perpaduan negara.”- Perenggan 58, Laporan Suruhanjaya Reid.

Tanggal 24 April 2017, Malaysia sekali lagi bertuah ke­rana berpeluang menyaksikan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15. Ini bermakna sejak tertubuhnya negara ini, Malaysia berpeluang menyaksikan 15 kali pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang dipilih dalam kalangan raja-raja Melayu. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang berdasarkan kaedah penggiliran ini menambahkan lagi keunikan sistem ini.

Corak pemerintahan beraja bukanlah sesuatu yang asing, kerana sebelum wujudnya sistem pemerintahan seperti yang ada kini, institusi istana adalah satu elemen penting dalam sistem masyarakat. Namun melalui proses kolonisasi, ada negara yang terpaksa mengetepikan serta melenyapkan institusi raja dan digantikan dengan sistem pemerintahan ‘moden’ seperti republik. Kesan ini boleh dilihat di Indonesia serta India.

Malaysia masih bertuah, kerana sekalipun halangan berliku, Tanah Melayu beroleh kemerdekaan dengan meletakkan Sultan sebagai ketua negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara sebagaimana yang ditegaskan dalam Per­kara 32 Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan. Secara ringkas, Seri Paduka dilantik hasil daripada muafakat Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 38(2)(a) Perlembagaan Per­sekutuan.

Majlis Raja-Raja itu sendiri adalah salah satu komponen terpenting dalam institusi raja-raja di Malaysia dan adalah sebuah majlis yang ditubuhkan lebih awal, sebelum Perlembagaan Persekutuan dirangka lagi. Peranan dan fungsinya di­nyatakan secara jelas di bawah Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan dalam kes Phang Chin Hock v Public Prosecutor (No. 2) menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja mempunyai fungsi-fungsi seperti berikut: 1) Fungsi eksekutif seperti hal yang melibatkan pelantikan dan pemecatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalannya; 2) Fungsi rujukan pula boleh di­lihat dalam peranan Majlis Raja-Raja berkaitan hal-hal yang termaktub di bawah Perkara 153; dan 3) Fungsi perunding boleh dilihat melalui pe­ranan Majlis Raja-Raja dalam perkara se­perti pembentukan polisi dan lain-lain perkara yang difikirkan sesuai.

Namun waima Malaysia bakal menyambut kemerdekaan kali ke-60 Ogos ini, masih terdapat ­pandangan pesimis terhadap institusi raja-raja di Malaysia. Ada yang berpendapat sistem ini tidak relevan untuk terus diamalkan.

Dalam menjawab tuduhan ini, penulis menjemput mereka yang bernada sumbang ini untuk berfikir secara logik tentang bagaimana masih terdapat negara-negara maju seperti Jepun, Britain, Belanda dan Denmark yang mengamalkan sistem beraja.

Negara jiran Malaysia seperti Thailand juga masih kuat berpegang teguh kepada institusi beraja. Rakyat mereka bukan saja tidak mempersoalkan kedudukan raja-raja dalam sejarah pemerintahan negara mereka tetapi yang lebih utama, rakyat negara-negara ini bersumpah taat setia kepada institusi raja-raja mereka.

Pasca kolonisasi, institusi raja-raja Melayu sudah tidak lagi mengamalkan monarki mutlak tetapi beralih kepada sistem raja berperlembagaan yang membawa maksud segala tindakan haruslah selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru penulis tidak bersetuju sekiranya dikatakan institusi raja-raja hanyalah simbol semata-mata dan tidak mempunyai tanggungjawab yang aktif.

Contohnya, peruntukan di bawah Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan menunjukkan pentingnya peranan raja-raja Melayu, yang berfungsi sebagai ketua agama di negeri-negeri sendiri, manakala bagi negeri-negeri yang tidak beraja pula, ketua agama Islam adalah Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan secara langsung memberikan kedudukan yang tinggi kepada agama Islam kerana diketuai oleh ketua agama Islam di peringkat negeri dan di peringkat Persekutuan.

Pengaruh serta ketinggian Islam juga dapat dilihat dengan lafaz ikrar jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang mana Yang di-Pertuan Agong berikrar akan memelihara agama Islam.

Selain itu, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan juga menunjukkan betapa beratnya peranan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu dalam mengekalkan leluhur yang telah dipersetujui.

Perkara 153(1) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu, anak negeri mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Peruntukan ini meletakkan amanat yang besar ­kepada institusi raja-raja Melayu untuk melindungi dan mempertahankan setiap hak serta keistimewaan rak­yat seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Tuntasnya, institusi raja-raja Melayu harus terus dipelihara serta dijunjung tinggi oleh rakyat. Dan bersempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang ke-15 ini, molek kiranya dikenang akan wasiat Sultan ‘Alauddin Riayat Syah kepada anakandanya, seperti yang diriwayatkan dalam Sulalatus Salatin yang dikalamkan Tun Sri Lanang: “Raja-raja itu umpama api, segala perdana menteri umpama kayu, kerana api itu jikalau tiada kayu tiada akan nyala.

Rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikian raja-raja itu dengan segala rakyatnya.”

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

Read More

Bukan Untuk Silap


Tiada ruang untuk silap


Kuala Lumpur: Walaupun sudah tiga kali menggalas tugas menyediakan lembaran watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong, cabaran berat tetap terasa kali ini apabila penulis kaligrafi khat Abdul Baki Abu Bakar diberi tanggungjawab serupa untuk pertabalan Sultan Muhammad V.

Sabar, tekun dan teliti adalah antara cabaran yang tetap dirasakan untuk menghasilkan seni kaligrafi khat jawi yang indah, halus dan berkualiti tinggi, apalagi bila diminta menghasilkannya pada kepingan kulit kambing.

“Penulisan khat di atas kulit kambing (tidak seperti di atas kertas) adalah sukar kerana tekstur yang agak licin seperti berminyak dan berbintik-bintik.

“Inilah cabaran utama,” kata Pengarah Galeri Diwani Kraf itu yang berpengalaman menghasilkan watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong sejak 2002.

Abdul Baki pernah memenangi pelbagai pertandingan seni kaligrafi khat peringkat antarabangsa antaranya di Algeria, Brunei, Turki dan Arab Saudi dan pernah terpilih di antara 30 penulis khat terbaik dunia.

Dalam temu bual dengan BERNAMA, beliau menceritakan tanggungjawab berat yang digalasnya kali ini - menyiapkan penulisan khat watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V.

Istiadat pertabalan itu akan berlangsung di Istana Negara pada 24 April ini.

“Pihak Istana Negara hanya menyediakan enam kepingan kulit kambing berukuran 26x40cm dan 15 keping kertas khas berukuran 21x30cm untuk penulisan khat bagi istiadat pertabalan tersebut.

“Prosesnya amat sukar kerana saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan bagi setiap perkataan. Bagi mengelak perkara itu berlaku, saya menulis menggunakan pensel terlebih dulu di atas kulit kambing sebelum menggunakan pen dan dakwat khas,” katanya.

Menurut Abdul Baki, beliau dipertanggungjawabkan menghasilkan 15 Watikah Persilaan kepada semua Sultan dan Raja Melayu serta empat watikah yang ditulis di atas enam kepingan kulit kambing iaitu Watikah Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong (dua keping), Watikah Ikrar (sekeping), Watikah Doa (dua keping) dan Watikah Perisytiharan Pertabalan (sekeping).

“Penulisan kaligrafi khat bagi Watikah Persilaan di atas 15 kertas khas adalah lebih mudah berbanding menulis khat di atas enam kepingan kulit kambing,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kaligrafi khat.

Abdul Baki pernah terbabit dalam menyediakan watikah serupa bagi pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-12 Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 2002, Yang di-Pertuan Agong ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 2007 dan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 2012.

Mengulas lanjut mengenai penulisan watikah kali ini, Abdul Baki berkata proses penulisan watikah itu kini 80 peratus siap dan akan dihantar ke Istana Negara sebaik siap.

Mengenai jenis kaligrafi khat yang dipilih, Abdul Baki berkata semua watikah ditulis tangan menggunakan khat nasakh dan khat thuluth yang lebih mudah dibaca berbanding beberapa jenis kaligrafi khat lain.

Berkongsi pengalaman mengenai penyediaan watikah yang mengambil masa kira-kira dua bulan itu, Abdul Baki berkata ia perlu melalui beberapa peringkat, bermula dengan melakar skrip menggunakan pensel bagi mengelak kesalahan dan mengimbangi tulisan.

“Seterusnya, ia akan diperiksa oleh wakil Istana Negara sebelum proses terakhir menulis menggunakan sejenis pen khas iaitu ‘batang resam’ dengan dakwat kalis air yang terbaik dari Jepun bagi memastikan tulisan tersebut tahan lama,” kata penulis khat berusia 43 tahun itu.

Anak kelahiran Baling yang pernah menghasilkan sebuah Mushaf al-Quran Malaysia pada 1999 itu berkata watikah pertabalan ditulis di atas kulit kambing bertujuan memastikan ia tahan beratus tahun.

“Kulit kambing bahan yang tahan lama, keras, tidak seperti kertas biasa yang semakin lama akan rosak serta pudar tulisannya,” katanya.

Mengimbau pembabitan beliau dalam bidang kaligrafi khat, Abdul Baki berkata minat terhadap penulisan itu timbul semasa berusia 12 tahun ketika menuntut di Maahad Tarbiah Islamiah, Derang, Kedah.

“Ketika itu saya melihat guru saya menulis kaligrafi khat di dalam kelas. Dari situ saya suka melihat dan berniat mendalami ilmu penulisan itu.

“Beberapa tahun kemudian kawan saya memberikan sebuah buku bertajuk Kaedah Seni Khat tulisan Hashim Al-Baghdadi dari Iraq,” katanya.

Menceritakan pencapaian beliau, Abdul Baki berkata kreativiti dalam kaligrafi khat telah membawa nama Malaysia ke peringkat tinggi di persada seni khat dunia apabila memenangi pelbagai pertandingan seni kaligrafi khat antarabangsa termasuk di Algeria, Brunei, Turki dan Arab Saudi.

Beliau berkongsi kenangan manis dengan menyatakan pernah terpilih di antara 30 penulis khat terbaik dunia untuk menulis al-Quran mushaf kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tahun lalu.

Bernama
Read More

Pertabalan DYMM Yang Dipertuan Agong Ke-15
















Transkrip Penuh Titah Sultan Muhammad V Sempena Pertabalan Sebagai Yang di-Pertuan Agong


KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Berikut adalah titah Sultan Muhammad V pada Istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, di Istana Negara, di sini hari ini:

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Bismillahir Rahmannir Rahim.

Alhamdulillah Rabbil Alamin, Wabihi Nasta’in.

Alhamdulillah, sesungguhnya Beta menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah izin-Nya jua, Beta dapat berangkat ke istiadat pertabalan Beta pada hari ini.

Pada saat yang berbahagia, ketika yang bermakna dan detik yang bersejarah ini, Beta berasa sungguh terharu dan amat menghargai kesudian perkenan keberangkatan Yang Maha Mulia Raja-Raja, Wakil-Wakil Raja, Permaisuri-Permaisuri serta Yang Terutama Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri dan Toh Puan-Toh Puan meraikan istiadat pertabalan pada hari ini.

Beta dengan perasaan yang tulus ikhlas menzahirkan ucapan junjung kasih kepada Paduka Nenda, Paduka Ayahanda dan Paduka Kekanda Raja-Raja yang telah memberi kepercayaan kepada Beta untuk memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong Kali Yang Ke Lima Belas.

Beta yakin, dengan semangat muafakat dan persefahaman yang padu antara kita, Beta akan dapat menunaikan tanggungjawab Beta dengan lebih berkesan, insya-Allah.

Beta juga berharap agar Paduka Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dapat memberi titah pandangan dan nasihat dalam memastikan Malaysia terus menjunjung kedaulatan Raja Berpelembagaan di tanah bertuah ini.

Beta juga merasa terharu dan berbesar hati atas ikrar taat setia dan tanda kasih kepada Beta yang telah dilafazkan sebentar tadi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang mewakili pihak kerajaan, anggota perkhidmatan awam, anggota keselamatan dan seluruh rakyat jelata, Beta ucapkan ribuan terima kasih.

Tahun 2017 ini membawa makna yang amat besar kepada Beta dan juga seluruh rakyat Malaysia. Selain daripada istiadat pertabalan Beta, kita juga menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-60.

Beta berharap agar sambutan ulang tahun kemerdekaan pada tahun ini disambut dengan suasana meriah dan harmoni, tambahan pula sambutan ini hampir dengan Hari Raya Aidiladha yang disambut oleh seluruh umat Islam.

Sebagaimana yang telah terbukti, bahawa rakyat pelbagai kaum yang menganuti pegangan agama yang berbeza, serta mengamalkan budaya dan gaya hidup yang bervariasi, mampu hidup bersama dalam keadaan aman harmoni dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

Beta berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur, bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat, kerana ini merupakan keunikan dan sumber kekuatan kita selama ini.

Sungguhpun negara kita sedang dilanda kelembapan ekonomi, langkah-langkah khusus yang diambil oleh kerajaan telah berjaya mengatasi tekanan-tekanan dari luar terhadap ekonomi negara terutamanya dalam menangani penyusutan nilai ringgit.

Di samping itu, rakyat pula telah menunjukkan sokongan penuh kepada strategi yang dirangka oleh kerajaan bagi memulihkan ekonomi negara.

Kita tidak akan mampu untuk melangkah lebih jauh sekiranya kita tidak bersama-sama dalam usaha-usaha meningkatkan ekonomi kita hari ini.

Usaha pembangunan negara seterusnya perlu ditunjang oleh modal insan yang berkualiti. Hanya dengan inilah, kita dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing serta mampu menerokai dan memanfaatkan segala kelebihan dan sumber yang kita miliki.

Hakikatnya, kualiti modal insan negara adalah penentu utama kejayaan Malaysia pada masa hadapan. Setiap dari rakyat Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dan rakyat tidak boleh cuai dan alpa dalam melaksanakannya kepada negara.

Kepada generasi muda, pelapis negara, lengkapkanlah diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.

Beta percaya bahawa tidak ada noktah dalam menuntut dan mencari ilmu. Justeru, Beta menyeru kepada setiap rakyat Malaysia, khususnya generasi muda untuk terus mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan negara.

Sesungguhnya Malaysia adalah satu-satunya negara kita. Demi negara tercinta ini, sama-samalah kita menjaga maruah dan kehormatannya.

Sedarlah apa jua yang telah kerajaan lakukan hari ini akan diwariskan generasi muda sebagai penerus perjuangannya.

Segala peluang yang telah disediakan oleh kerajaan perlu direbut dan dimanfaatkan sepenuhnya demi kelangsungan Negara.

Beta berharap rakyat Malaysia terus berpegang teguh kepada nilai, akhlak, moral dan etika yang baik. Jadilah insan yang mulia, insan yang berilmu dan berpekerti tinggi serta menyedari akan tanggungjawabnya kepada negara.

Mengakhiri titah ini, Beta amat berterima kasih kepada pihak kerajaan dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri serta anggota kabinetnya atas sokongan berterusan yang diberikan Beta untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sekali lagi Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih di atas ucapan tahniah yang diberikan oleh semua pihak sempena istiadat pertabalan Beta pada hari ini.

Beta berdoa agar negara Malaysia yang tercinta ini akan terus dilimpahi keberkatan rezeki, kekal aman sentosa dan dijauhi Allah Subhanahu Wata’ala daripada segala marabahaya, malapetaka dan bencana.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

BERNAMA


Profil Sultan Muhammad V


KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Bersempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Istana Negara telah mengeluarkan profil Seri Paduka Baginda seperti berikut:

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah diputerakan pada tanggal 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.

Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda untuk berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989.

Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

Pada tanggal 24 Mei 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan.

Pada 13 September 2010, baginda telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29.

Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada tahun 2016, Majlis Raja-Raja telah melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 berkuatkuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

Istiadat melafaz sumpah jawatan telah disempurnakan pada 13 Disember 2016.

Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat diberi perhatian oleh Seri Paduka. Sebagai Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat bercemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.

Dalam bidang ketenteraan pula, sifat kepimpinan baginda senantiasa dikagumi. Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri DiRaja sehingga kini. Dengan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Baginda turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan.

Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain meminati sukan memanah dan menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

Selain daripada aktif dalam persatuan, baginda juga mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa. Baginda amat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan tersebut, justeru tanpa rasa jemu, baginda sendiri akan berangkat bagi memastikan tahap penjagaan yang sempurna dilaksanakan di taman haiwan berkenaan.

Seri Paduka Baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu:-

- Persatuan Menembak Kelantan;

- Yayasan Sultan Kelantan (YSK);

- Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan

- Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif Malaysia (SAAARMM);

- Persatuan Bulan Sabit Merah;

- Persatuan Sukan Berkuda;

- Persatuan Motor 4x4;

- Persatuan Memanah

Sultan Muhammad V telah dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu: DK (1986), DMN (2010), DK (Selangor - Januari 2011), DK (Negeri Sembilan - April 2011), DK (Johor - 2011), DK (Perak - Julai 2011), DK (Perlis - Oktober 2011), DK (Kedah - Mac 2012), DK (Terengganu - November 2014), SPMK, SJMK, SPKK, SPSK dan DKM (2017).

Seri Paduka Baginda sememangnya terkenal dengan sifat seorang Raja yang amat berhemah tinggi, mempunyai tutur kata yang lemah-lembut dan sopan santun. Baginda juga adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti serta tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.

Baginda amat mengambil perhatian dalam hal-ehwal agama dan juga kepada rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri.

Antara program yang diadakan hasil ilham baginda adalah Program Qiam With Me dan Walkathon Diraja yang telah bermula sejak tahun 2011 di Negeri Kelantan.

Baginda juga begitu prihatin akan kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda menangani permasalahan hal-ehwal kemasyarakatan dan keagamaan.

Selain itu, baginda merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati rakyat. Tidak hairanlah jika baginda menjadi seorang pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat Malaysia.

BERNAMA


Read More

21 Apr 2017

Hari Kartunis Malaysia

Pengiktirafan kartunis Malaysia



Pelancong asing teruja melihat lukisan kartun mengenai budaya Malaysia yang dipamerkan di hadapan Rumah Kartun dan Komik Malaysia.

Tanggal 1 April menjadi detik bersejarah buat kartunis-kartunis negara ini apabila Kelab Kartunis Malaysia (KKM) mengisytiharkan sebagai Hari Kartunis Malaysia.

Pemilihan tarikh keramat tersebut bersempena hari ulang tahun majalah humor nasional, Gila-Gila.

Presiden KKM, Mohd. Desa Omar berkata, sambutan tersebut merupakan julung-julung kali diadakan di negara ini dalam memberi pengiktirafan kepada kartunis-kartunis.

Beliau yang dikenali sebagai Juragan dalam kalangan kartunis negara memberitahu, kelahiran majalah Gila-Gila amat penting dalam perkembangan kartunis dan kartun negara.

Katanya, rentetan daripada kelahiran naskhah tersebut, muncul banyak majalah humor di negara ini sehingga menjadi wadah kepada para kartunis berkarya.

“Hari Kartunis ini diwujudkan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan para kartunis tempatan dalam menghiburkan rakyat Malaysia sejak tahun 1930-an.

“Pada tahun ini, kita meraikannya buat pertama kali dalam majlis yang agak santai bersama para kartunis baharu dan lama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KKM telah memilih Kartunis Nadi Aspirasi Masyarakat sebagai tema sambutan Hari Kartunis Malaysia pada tahun ini.

Menurut Juragan, tema tersebut dipilih bagi memberi penghormatan kepada peranan yang dimainkan oleh kartunis dalam masyarakat.

“Kartunis adalah sebahagian daripada masyarakat. Kartunis sebenarnya menzahirkan harapan dan aspirasi kepada masyarakat melalui kartun,” ujarnya.

Sempena sambutan Hari Kartunis Malaysia, KKM memberi anugerah Tokoh Kartunis 2017 kepada kartunis, Rosidi Ismail atau Rossem sebagai pengiktirafan terhadap karyanya.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh ikon kartun Malaysia, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Datuk Lat.

Sambutan pada tahun ini turut dimeriahkan dengan Pameran Sejarah dan Perkembangan Kartun di Rumah Kartun dan Komik Malaysia.

Pameran tersebut mengetengahkan hampir 500 karya kartun sejak tahun 1936. Antara yang dipamerkan, komik awal Mahsuri oleh Saidin Yahya, Tuah Adek (Halim Teh), Puteri Bisa (Raja Hamzah) dan Pemburu Maut (Sulaiman Awang).

“Pameran ini diadakan bertujuan untuk memberi maklumat kepada pengunjung bahawa kartun dan komik negara telah wujud sebelum merdeka,” katanya.

kosmo


Hari Kartunis tanda pembukaan rasmi Rumah Kartun dan Komik Malaysia

DATUK LAT (tengah) bersama Penaung Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Datuk Akmar Hisyam Mokhles (dua kanan) dan Pengasas Majalah Gila-Gila, Jaafar Taib (kanan) teruja memperkatakan karya yang dipamerkan di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN ONLINE/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

Amirul Aiman Anuar

KUALA LUMPUR 1 Apr. - Sejarah manis industri komik dan kartun tercatat buat julung kalinya dengan pembukaan rasmi Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) di Taman Botani Perdana di sini serentak dengan pengisytiharan Hari Kartunis Malaysia hari ini.

Galeri yang mengumpul lebih 500 karya seawal tahun 30-an itu dirasmikan Ikon Kartunis Negara, Datuk Mohd. Noor Khalid atau Datuk Lat yang turut dimeriahkan lebih 80 kartunis dari pelbagai generasi hadir melahirkan sokongan.

Lebih 60 kartunis termasuk naskhah asal lakaran tangan beberapa tokoh besar dalam landskap kartun tanah air iaitu Allahyarham Jab Had (Rejabhad), Zainal Buang Hussein dan Jaafar Taib turut dipamerkan.

Dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang manakala pada hujung minggu dan cuti umum akan dilanjutkan ke pukul 5 petang dengan bayaran masuk RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak.

Rata-rata pengunjung yang hadir kelihatan teruja dapat menyaksikan karya naskhah komik popular era 70-an iaitu Gila-Gila sambil berswafoto dengan kartunis pujaan masing-masing. - UTUSAN ONLINE

utusanonline



Wajar 1 April diisytihar Hari Kartunis



 Kartunis tanahair meriah sakan meraikan Hari Kartunis

Adam Salleh

Yang dicanangkan di media sehari dua ini, 1 April adalah Hari Kartunis. Yang ghairah mencanangkan tarikh berkenaan menjadi Hari Kartunis adalah golongan kartunis itu sendiri. Ia bersempena perasmian Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) di Taman Botani, Tasik Perdana pada Sabtu lalu dan 1 April juga detik Majalah Gila-Gila diterbitkan pada 1978.

Bukan tidak boleh ‘masuk bakul angkat sendiri’ tetapi lebih molek sesuatu hari itu mahu diisytiharkan sesudah mendapat mandat rasmi daripada kerajaan. Langkah pertama golongan kartunis ini sudah cantik, belum setahun jagung tetapi mereka mendapat lokasi strategik untuk RKKM dan penaungnya pula adalah Datuk Akmar Hisyam Mokhles (Setiausaha Akhbar PM).

Bersempena hari bersejarah itu, Pengasas RKKM juga Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia, Mohd Desa Omar (Jugaran) minta kerjasama penulis menjadi moderator sesi Sembang Kartun Bersama Metro Ahad dengan panel, Datuk Lat, Jaafar Taib, Dinie Juri, Rossem, Gayour dan Lambok.

Julung kali berhadapan dengan tokoh kartunis veteran seperti Lat, Jaafar Taib, Dinie Juri dan Rossem dan juga julung kali menjadi moderator mengendalikan enam ahli panel sekali gus, sekalipun sedikit kekok namun keterujaan terhadap bakat seni mereka itu nyata membakar semangat untuk bersemuka terutama dengan Jaafar Taib, tokoh penting di sebalik Gila-Gila.

Melalui kesempatan itu, penulis jelaskan usaha memilih sehari sebagai Hari Kartunis sememangnya kena pada masanya dengan mengambil kira jasa ditaburkan kartunis tanah air kita. Cuma perjuangan yang singkat bermula pada hari berkenaan hanya ketentuan Tuhan apa yang dihajati itu dapat dimakbulkan. Sebabnya penulis mengambil kira bagaimana Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) memperjuangkan sekian lama agar kerajaan mengiktiraf sehari sebagai Hari SENIMAN, tetapi acapkali usaha mereka itu menemui jalan buntu.

SENIMAN ditubuhkan pertengahan 1970-an dengan presiden pertama Zainuddin Zimbo (Allahyarham), seterusnya diterajui anak seni lain seperti Datuk Baharuddin Omar (Anjang Aki), Abu Bakar Kassim, Datuk Ismail Hudson (Allahyarham), Datuk Aziz Singah (Allahyarham), Datuk Mustapha Maarof (Allahyarham), Harun Salim Bachik (Allahyarham) dan kini Zed Zaidi.

Momentum perjuangan mereka untuk Hari Seniman diiktiraf tidak pernah pudar walaupun beralih pucuk kepemimpinan. Takdirnya ketika Mustapha menjadi presiden, kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) bersetuju mengisytiharkan 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Seniman Malaysia, bermula pada 2008.

Tarikh 29 Mei itu dipilih SENIMAN bagi mengenang tarikh kematian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1973. Sekalipun hampir sembilan tahun Hari Seniman itu diraikan, masih terdengar suara sumbang minta kerajaan tukar tarikh itu ke 22 Mac iaitu tarikh kelahiran P Ramlee pada 1929 kerana tarikh kelahiran lebih molek berbanding tarikh kematian.

Dalam hal ini percaturan kartunis diterajui Juragan memilih 1 April lebih bijak kerana ia tarikh sebagai penghargaan kepada Majalah Humor Gila-Gila. Sekalipun 1 April itu jatuh bersempena dengan Hari RTM (Radio Televisyen Malaysia), itu tidak menjadi hal kerana Harian Metro sendiri diwujudkan pada 25 Mac 1991 dan 25 Mac itu juga Hari Polis.

Bagi generasi menempuh remaja dan dewasa pada hujung 1970-an dan 80-an, Gila-Gila boleh dikatakan antara majalah humor tanpa disedari membentuk otak menjadi progresif. Ada generasi itu kini membesar menjadi pemimpin yang mempunyai jati diri tersendiri tanpa berfikiran kacau bilau kerana masa muda mereka itu diisi dengan bacaan murni.

Tidak seperti sekarang kemasukan pelbagai bahan komik asing yang diterjemahkan, gajet elektronik selain kian kemaruk remaja dan mereka bersekolah rendah menghabiskan masa berjam-jam di kafe siber membentuk peribadi anak kita jadi liar. Harus kita akui di era kemuncak Gila-Gila dahulu, budaya mat rempit tidak ekstrem seperti sekarang.

Awal 1980-an , tidak ceria Aidilfitri tanpa membeli majalah Gila-Gila. Bagi penulis yang adik beradik seramai 12 orang, dengan lapan lelaki, senaskhah majalah itu pastinya menjadi rebutan. Berpindah satu tangan ke satu tangan, soal lusuh lumat itu sudah biasa kerana yang penting dapat membaca isi kandungannya agar Aidilfitri turut ceria bersama Gila-Gila.

Bukan seorang dua pula yang menjadikan majalah humor itu sebagai peneman dalam perjalanan (khususunya bas) ketika pulang ke kampung halaman. Pendek kata Gila-Gila ada dijual di mana saja. Membacanya berulang kali menjadi bertambah seronok, begitulah impak majalah Gila-Gila hingga edarannya pernah mencecah lebih 200,000 naskhah.

Edarannya mengatasi majalah popular berkonsepkan wanita diterbitkan sebuah syarikat akhbar terkenal. Fenomena dicetuskan Gila-Gila memberi inspirasi kepada kartunis muda lain lalu munculllah Geli Hati, Ujang, Apo, Batu Api dan beberapa lagi yang sealiran dengan Gila-Gila. Sambutan diterima daripada pembaca tidak mengecewakan, seperti mana Ujang turut mencatat edaran tertinggi, namun kini segala kejayaan itu hanya tinggal kenangan kerana majoriti majalah itu sudah pun gulung tikar kecuali Gila-Gila meneruskan perjuangan.

Sekalipun sudah lama meninggalkan Gila-Gila nama watak seperti Periwira Mat Gila, Tan Tin Tun, Pendekar Mato Tigo, Ayob Anak Tulakang dan Lagak A Mahmud terakam kemas di ingatan. Dek Gila-Gila, pemikiran remaja seperti penulis ketika itu dapat menepis bahan bacaan lucah, kalau pun ada yang mencelah cuma Mona Gersang, tidak seperti hari ini remaja seawal usia sudah dirosakkan dengan pelbagai bahan lucah di Internet dek ledakan teknologi maklumat tanpa mengenal sempadan, maka bertambah meriahlah kes pembuagan bayi.

Natijahnya, menjadi tanggungjawab besar pada Juragan bersama rakan kartunis lain untuk mendesak kerajaan agar mengiktiraf sehari sebagai Hari Kartunis. Nama-nama seperti Jaafar Taib, Rejabhad, Mishar, Zainal Buang Hussein, Ujang atau Imuda sepatutnya sudah berstatus ‘datuk’ sekiranya pihak tertentu memahami pengertian orang berbudi, kita berbahasa.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 3:46 AM

metro

 
Read More

13 Apr 2017

Islam


Abang Micheal Jackson kongsi pengalaman peluk Islam
April 5, 2017


Kisah keluarga Raja Pop dunia, Micheal Jackson memeluk Islam masih menjadi perhatian dunia sehingga hari ini.

Baru-baru ini Abangnya, mendedahkan semula permulaan beliau tertarik dengan Islam, sehingga melafazkan syahadah seawal tahun 1989.

Berita pengislamannya itu sangat mengejutkan dunia Barat dan peminat seninya. Jermaine, salah seorang anggota kumpulan Jackson 5 yang mengecap kegemilangan dan kemasyhuran pada era 1980-an sebagai penyanyi.

Jermaine atau nama sebenarnya Jermaine LaJaune Jackson dilahirkan pada 11 Disember 1954 di Gary, Indiana kini lebih dikenali sebagai Muhammad Abdul Aziz.

Ceritanya, sekitar tahun 1989, beliau bersama dengan adiknya, Janet Jackson, membuat persembahan di beberapa negara Asia Barat. Ketika menetap di Bahrain, Jermaine berpeluang berjumpa sekumpulan kanak-kanak negara itu yang datang menemuinya.

“Kanak-kanak tersebut tanpa segan silu terus bertanyakan mengenai agama anutan saya, lalu saya menjawab saya seorang Kristian dan saya juga terus bertanyakan kepada kanak-kanak itu akan agama mereka pula.

“Agak mengejutkan apabila mereka menjawab Islam dengan bangganya tanpa ragu-ragu. Kanak-kanak itu juga bercerita tentang Islam dengan pelbagai maklumat yang menarik walaupun bunyinya begitu keanak-anakan.

“Melihat kesungguhan mereka menerangkan Islam, saya menjadi kagum malah saya berasa sungguh damai mendengarkan penerangan mereka itu,” katanya.

Sejak kejadian itu katanya, beliau mula mencari peluang mengadakan perbincangan yang panjang lebar mengenai Islam dengan beberapa ulama dan tokoh Islam.

Tidak lama kemudian, beliau memberitahu perasaan tertarik dengan Islam kepada seorang sahabat Qunber Ali, yang seterusnya membawa beliau ke Riyadh, ibu negara Arab Saudi .

“Sehingga ke saat itu, saya masih tidak mengetahui mengenai Islam sehinggalah sebuah keluarga daripada kerabat diraja Arab Saudi membawa saya untuk melakukan umrah di Mekah.

“Di situ, buat pertama kalinya saya mengucap dua kalimah syahadah bagi mengesahkan pengislaman saya,” katanya.

Jelas beliau, tidak dapat diungkapkan perasaan bergelar muslim, beliau merasakan dirinya bagai dilahirkan semula.

“Ini kerana Islam telah memberikan jawapan kepada pelbagai keraguan beliau sebelum ini terutama mengenai agama asalnya.

“Islam memberikan jawapan yang sangat memuaskan hati terutama mengenai kelahiran dan kenabian Nabi Isa a.s. dan saya berdoa agar seluruh keluarga saya juga dapat menerima hakikat yang sama,” katanya.

Seluruh keluarga Jackson adalah pengikut ajaran Kristian yang dikenali sebagai Avendance of Jehova (Penyaksian Jehova) dan antara ajaran yang menjadi pegangan adalah hanya seramai 144,000 lelaki di muka bumi ini layak memasuki syurga.

Katanya, sejak dahulu beliau tidak dapat menerima fakta yang sedemikian dan begitu juga apabila kitab Bible sebenarnya lebih mengumpulkan kata-kata manusia di dalamnya berbanding ajaran sebenar dan kata-kata daripada Allah. – Agensi

ismaweb
Read More

8 Apr 2017

teater dan kehidupan

TEATER ADALAH KEHIDUPAN

Oleh Dinsman



Minggu lalu seorang pensyarah teater di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Lena Farida Chin, melakukan penyelidikan mengenai Teater Elit, atau nama asalnya Grup Teater Elit (GTE), iaitu kumpulan teater yang saya tubuhkan bersama dengan Sutung Umar Rs (almarhum) dan Ajikik, pada tahun 1976.

(Mengapa dia melakukan penyelidikan itu, saya kira bukanlah persoalan kita di sini. Itu persoalan dia. Persoalan akademis.)

Selain menemubual beberapa orang yang mempunyai maklumat berkenaan (termasuk Jaafa HS yang kini menetap di Batu Pahat, Johor), Lena Farida juga menyelongkar bahan-bahan bercetak yang tersimpan di perpustakaan atau pusat dokumentasi sastera Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Sumber penting yang ditemuinya ialah majalah Dewan Budaya.

Banyaklah gambar dan tulisan mengenai Teater Elit (GTE) yang ditemuinya dalam Dewan Budaya terbitan awal 80-an itu. Bukan sahaja tulisan-tulisan mengenai Teater Elit yang ditemui Lena Farida, tetapi juga tulisan-tulisan mengenai teater dan aktiviti teater waktu itu, yang membuatkan pengkaji ini sepontan merumuskan: “teater dulu lebih maju dibandingkan sekarang.”

Saya cuba persoalkan rumusannya itu, tetapi dia nampaknya telah menemui bukti-bukti yang menyokong pandangannya. Dan kami pun tak melanjutkan hujah masing-masing kerana ada hal lain yang meminta tumpuan waktu itu.

Namun saya berfikir-fikir juga akan rumusan Lena Farida itu, sambil terkenangkan beberapa peristiwa teater yang ditemui kembali olehnya. Antaranya seperti teater “Malam Suka-suka Keluarga Bujang Lapuk” yang dibuat di Kompleks Budaya Negara (KBN, sekarang di situ dibangunkan ASWARA), pada 16 Mac 1985; dan sebelum itu “Malam Seniman Bujang Lapuk” di Balai Budaya DBP, pada 25 Oktober 1984.

Saya teringat kepada dua persembahan GTE tersebut bukannya dalam konteks rumusan Lena Farida yang mengatakan “teater dulu lebih maju” itu, tetapi kerana kelainan sifatnya, berbanding dengan teater hari ini.

Pertamanya dalam hal perkumpulan. Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat dalam persembahan tersebut adalah anak-anak muda yang sedang sangat ghairah dengan teater dan menumpang berteduh di bawah bumbung GTE waktu itu, di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru. Di situlah mereka ‘bekerja’ di siang hari, dan pada malamnya berlatih teater di KBN, dan selepas itu pulang bermalam di situ.

Hampir setiap malam kami mengadakan latihan teater di KBN. Sebahagiannya berjalan kaki dari Kampung Baru ke KBN. Dan ada yang berulang-alik dari Seremban, untuk latihan ini. Dan latihan ini bukannya untuk sesuatu atau mana-mana skrip, tetapi sekadar latihan fizikal, vokal, menyanyi, penghayatan dan improvisasi biasa. (Terselit juga latihan berfikir).

Teater bukan sekadar lakonan bagi kami (yakni kumpulan ini) pada waktu itu, tetapi teater adalah kehidupan (cara dan gaya hidup). Saya tidak pasti berapa lama bertahannya keadaan yang seperti itu. Tanyalah Sani Sudin, Usop, Siso (dan mereka bertiga melahirkan kumpulan lagu puisi ‘Kopratasa’ pun di situ), Hazali Ramli, Rodzi Md Nor, Md Shah dan beberapa orang lagi. (Ada yang sudah meninggal).

Ini adalah satu fasa daripada beberapa fasa yang dilalui GTE. Fasa-fasa lainnya seperti fasa permulaan bertiga Sutung Umar Rs, Dinsman dan Ajikik. Diikuti fasa Puisi di Hotel Abad Century dan Kumpulan Teater Tari, dengan penglibatan Jaafa HS dan Ali Ishak (Has Danny), dan lain-lain.

Dan hasil daripada improvisasi yang dibuat di malam-malam latihan di KBN itu juga ialah tiga atau empat episod (saya tak pasti lagi) drama televisyen “Keluarga Bujang Lapuk”, yang diarah dan diterbitkan oleh Zainuddin Nordin, Ketua Drama RTM 1 waktu itu.

Tetapi itu tidak penting. Yang pentingnya ialah dua pementasan teater yang saya sebutkan tadi – “Malam Seniman Bujang Lapuk” (1984) dan “Malam Suka-suka Keluarga Bujang Lapuk” (1985) itu. Barangkali nama persembahan atau teater itu sangatlah tidak menarik dan tidak sesuai langsung kalau difikirkan dalam konteks hari ini. Tetapi isi persembahannya dan proses penciptaannya itu saya rasa masih lagi menarik.

Apa yang saya bersama pimpinan GTE yang lain waktu itu (Sutung Umar Rs dan Aziz HM – semoga Allah merahmati roh mereka) harapkan daripada latihan teater tiap malam di KBN itu ialah menjadikannya sebuah ‘Akademi Teater’, yang akan melahirkan tenaga-tenaga teater untuk mengaktifkan aktiviti teater di seluruh negara.

Malah, seperti yang selalu disebut oleh Sani Sudin di mana-mana selepas itu, bahawa kumpulan ini bukan sahaja menjalani latihan teater tetapi mereka juga menjalani latihan menulis. Mereka diwajibkan menulis catatan pengalaman mereka.

Dua daripadanya, misalnya, disiarkan dalam Dewan Sastera dan Dewan Budaya, iaitu catatan Izzaidah Khairan mengenai proses pembinaan lakonannya dalam teater ‘Projek Izie’; dan catatan Hazali Ramli mengenai pengalaman sebagai Pengurus Pentas bagi ‘Malam Seniman Bujang Lapuk’.

Apakah harapan kami itu tercapai atau tidak? Biarlah saya tidak menjawabnya. Atau barangkali Lena Farida boleh juga mengkajinya dari aspek ini, dan memberikan jawapannya.

Saya teringatkan dua persembahan tersebut (tiga kalau termasuk ‘Projek Izie’), dan juga latihan-latihan setiap malam itu, adalah kerana kelainan yang disebutkan tadi, yang melahirkan persembahan ‘Suka-suka Keluarga Bujang Lapuk’.

Dinamakan ‘suka-suka’ kerana memang ia dibuat sebagai suka-suka sahaja, yakni setelah beberapa bulan latihan maka semestinya semua orang mengharapkan ada pementasan, kerana pementasan adalah puncak bagi kehidupan teater.

Apakah hal dan suasana perkumpulan seperti itu dalam teater, masih relevan dengan rentak dan suasana kehidupan hari ini? Saya sekadar menimbulkan persoalannya. Terpulanglah kalau ada orang yang berminat memikirkan jawapannya.

(Dari kolum 'Tekad Budaya' dalam akhbar Amanah, 2.4.2017)

fb shamsudin osman
Read More

5 Apr 2017

kasih pak ali

Kasih Pak Ali


Gambar tiga anak Rasuludin menunggang basikal dengan bapa saudaranya tular sejak Ahad lalu. FOTO ihsan pembaca

Nurul Huda Kosnon
nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: "Pada hari itu kereta saya rosak. Jadi, saya minta tolong bapa saudara untuk menjemput tiga anak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.

"Alhamdulillah... perkara paling penting, anak selamat sampai ke rumah biarpun terpaksa menunggang basikal dengan cara sedemikian,” kata Rasuludin Jamal Mohammad, 40.

Gambar tiga anak Rasuludin berusia 13 hingga 10 tahun tular di laman sosial sejak Ahad lalu sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen dengan kebanyakannya bersimpati.

Menerusi gambar berkenaan, tiga anaknya serta bapa saudaranya, Ali Ibrahim, 55, terpaksa berhimpit menunggang basikal dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mergong dan Sekolah Kebangsaan Mergong pulang ke rumahnya di Jalan Kota Tanah, Alor Setar, Kedah, Ahad lalu dengan seorang daripada mereka duduk di bahagian hendal basikal manakala dua lagi di tempat duduk belakang.

Menurut Rasuludin, kebiasaannya dia akan menjemput ketiga anaknya menaiki kereta untuk pulang ke rumah selepas habis waktu sekolah.

"Jarak dari sekolah anak-anak saya kira-kira empat kilometer ke rumah.

“Ketika itu, kereta Proton jenis Iswara milik saya rosak selain saya tidak berapa sihat selepas pulang dari tempat kerja menyebabkan saya meminta bantuan bapa saudara yang kebetulan datang ke rumah untuk menjemput anak-anak di sekolah masing-masing.

"Walaupun keadaannya sangat daif apabila terpaksa menunggang basikal namun perkara paling utama adalah memastikan mereka selamat sampai ke rumah," katanya yang juga pembuat roti canai di sebuah restoran di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Katanya, selalunya dia akan hantar anaknya ke sekolah masing-masing sebelum ke tempat kerja iaitu pada 6.30 pagi menaiki kereta dan menjemput mereka pada 2 petang.

"Kalau ikutkan saya masuk kerja pada 7.30 pagi dan pulang pada 11.30 pagi tapi disebabkan faktor kesihatan saya tidak mampu menjemput ketiga-tiga mereka.

"Memang membahayakan keselamatan namun pada masa sama tidak mahu ketiga-tiga anak pulang berjalan kaki tanpa ada sesiapa yang mengawasi mereka,” katanya.

Katanya, dia tidak mempunyai pilihan lain selain tidak menyangka ia menjadi viral di laman sosial sehingga ada beberapa pihak yang mahu memberi bantuan kepada anak-anak.

"Syukur, mungkin itu rezeki mereka terutama untuk membiayai kos persekolahan," katanya,

Katanya, kejadian seperti itu adalah yang pertama kali dan dia menganggap mungkin ada hikmah di sebalik kesusahan yang dialaminya termasuk apabila keretanya rosak.

"Kereta sudah dibaiki dan kini saya dapat menghantar anak seperti biasa. Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin," katanya.

metro
Read More
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena